AM

Bayaran Balik Deposit Peniaga Bazar Deepavali Brickfields Dalam Masa Terdekat

05/10/2025 04:15 PM

SUNGAI BULOH, 5 Okt (Bernama) -- Para peniaga di Bazar Deepavali di Brickfields yang menghadapi masalah lewat memulakan operasi bakal menerima kembali deposit mereka dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah pun memasang khemah baharu yang lebih kukuh dan besar di kawasan Little India, Brickfields bagi memastikan keselamatan serta keselesaan peniaga serta pengunjung.

Ramanan turut menjelaskan tanggapan salah yang menyatakan beliau atau Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terlibat secara langsung dalam penganjuran bazar itu, sebaliknya ia kerjasama antara DBKL dan Bank Rakyat.

“Pihak kami hanya campur tangan selepas masalah itu timbul, pada awalnya kami tidak mengetahui  urusan berkenaan. Sebaik dimaklumkan, saya telah membangkitkan hal itu dalam mesyuarat pasca kabinet.

“Kami kini bekerjasama rapat dengan DBKL bagi memastikan segala urusan berjalan lancar. Mereka yang sebelum ini mengatakan khemah itu akan runtuh, boleh datang untuk melihat sendiri khemah baharu berkenaan yang lebih selamat dan kukuh,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi “Deepavali Vanakam MADANI” peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Sebelum ini, peniaga mengkritik khemah sedia ada kerana dikatakan terlalu kecil dan tidak berkualiti,  dan perkara berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan yang menyifatkan khemah itu sebagai tidak kukuh dan tidak sesuai ditempatkan di jalan utama yang sibuk dengan kesesakan trafik.

Beberapa khemah juga dilaporkan roboh akibat hujan lebat.

Difahamkan, para peniaga membayar RM2,500 setiap lot dan ia merangkumi deposit sebanyak RM2,000 dan bakinya untuk bayaran perkhidmatan serta pembersihan.

Beberapa langkah tambahan termasuk perkhidmatan ulang-alik percuma dan kawasan parkir khas dijangka diumumkan tidak lama lagi untuk kemudahan pengunjung serta melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan