SUKAN

Wan Rohaimi Lega Kemenangan Pertama

05/10/2025 12:04 AM

GEORGE TOWN, 4 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini sebagai bukti kebangkitan semula skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau berkata kejayaan itu menjadi manifestasi peningkatan prestasi pasukan hasil kerja keras dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain sepanjang perlawanan.

“Hari-hari saya bersama mereka (pemain) dan nampak pasukan ini akan pergi jauh, cuma masa sahaja yang akan menentukan. Alhamdulillah, kemenangan sulung yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba.

“Sudah tentu ini akan menjadi suntikan semangat penting untuk Penang FC melangkah lebih jauh dalam saingan liga,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya di sini.

Bagaimanapun, Wan Rohaimi mengingatkan pasukannya supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan itu kerana Penang FC masih berada di kelompok bawah liga (kesembilan) dan memerlukan kemenangan berterusan untuk bangkit.

Sementara itu, pengendali NSFC Mohd Nidzam Jamil berkata terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki berdasarkan prestasi semasa pasukan.

“10 minit pertama nampak seperti kita boleh melakukan sesuatu tetapi selepas kita dibolosi satu gol, saya tak tahu. Mungkin panik, mungkin kita tak cukup bersedia,” katanya.

Beliau mengakui ketiadaan beberapa tonggak utama akibat kecederaan dan tugasan luar sedikit menjejaskan persembahan pasukan, namun yakin NSFC mampu bangkit bagi meraih keputusan positif dalam aksi akan datang.

NSFC kini menduduki tangga kelima dengan mengumpul lapan mata selepas enam perlawanan.

—BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan