Daripada Norshazlina Nor Azman
ASTANA (Kazakhstan), 4 Okt (Bernama) -- Aksi robot humanoid yang bertarung di gelanggang tinju mencuri tumpuan di Forum Antarabangsa Digital Bridge 2025, sekali gus menarik perhatian orang ramai di acara teknologi utama Kazakhstan dan terbesar di Asia Tengah itu.
Demonstrasi secara langsung yang diadakan di Zon Robotik forum itu menampilkan dua robot yang dibangunkan oleh Unitree, sebuah syarikat robotik yang berpangkalan di China.
Kedua-dua robot itu, lengkap dengan sarung tangan tinju dan pelindung kepala, bertarung dalam pusingan singkat sambil diiringi sorakan dan keterujaan pengunjung, sekali gus mengubah lantai pameran menjadi arena sukan.
Robot tinju itu merupakan antara tarikan utama di Zon Robotik, yang turut mempamerkan anjing robotik Unitree.
Mesin berkaki empat itu menarik perhatian pengunjung apabila melakukan aksi akrobatik, termasuk membuat dirian tangan serta bertindak balas terhadap arahan daripada pengendali mereka.
Anjing robotik itu turut mengundang perasaan ingin tahu yang sama seperti perlawanan tinju, dengan pengunjung berkumpul untuk merakam aksi dan melihat tahap responsif haiwan robotik itu.
Zon Robotik muncul sebagai antara kawasan pameran yang paling popular, sekali gus memperlihatkan minat mendalam orang ramai terhadap pameran teknologi maju yang interaktif dan menghiburkan.
Sementara itu, ciptaan robotik oleh Yayasan USTEM Kazakhstan turut mendapat sambutan hangat di forum berkenaan.
Robot-robot itu yang dibuat di China dan diprogramkan di Kazakhstan, termasuk satu yang direka khas untuk individu berkeperluan khas dan boleh dikawal menggunakan isyarat tangan.
Satu lagi model yang dipamerkan oleh yayasan yang berpusat di Almaty itu boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan Cina, dan kini sedang dilatih untuk berkomunikasi dalam bahasa Kazakh, yang mencerminkan usaha tempatan untuk membangunkan kepakaran sendiri dan menjadikan robotik lebih inklusif.
Selain robotik, ruang pameran itu turut menampilkan ratusan syarikat pemula niaga dan syarikat lain yang membentangkan penyelesaian dalam bidang kecerdasan buatan, teknologi kewangan (fintech), teknologi pendidikan (edtech) dan industri digital yang lain.
"Startup Alley" dan sesi "pitch battle" terus menjadi tarikan utama bagi usahawan, manakala demonstrasi teknologi imersif memberi peluang kepada pengunjung melihat perkembangan dalam realiti maya dan tambahan.
Digital Bridge 2025 yang bermula pada 2 Okt dan berakhir hari ini, turut menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik, pelabur dan pemimpin industri untuk membincangkan transformasi digital dan masa depan kecerdasan buatan di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial