KUCHING, 4 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata inisiatif seperti Program Jelajah Komuniti Digital dilaksana bagi memperluas kefahaman, kemahiran dan peluang ekonomi masyarakat luar bandar dalam dunia digital.
Beliau berkata program itu mencerminkan tekad kerajaan untuk merakyatkan agenda pendigitalan serta memastikan masyarakat luar bandar menikmati manfaat pembangunan digital negara.
“Program Jelajah Komuniti Digital ini bukan sekadar acara simbolik atau santai-santai sahaja. Ia adalah manifestasi serta tekad Kerajaan Perpaduan untuk merakyatkan agenda pendigitalan negara,” katanya pada majlis perasmian program itu di Rumah Johnson Jangu, Sibuti, dekat Miri, hari ini.
Beliau berkata usaha mendekatkan teknologi kepada masyarakat luar bandar penting bagi membina Malaysia sebagai negara AI yang berdaya tahan, saksama dan inklusif menjelang 2030.
Ugak berkata kemahiran digital kini menjadi keperluan asas untuk meningkatkan peluang dalam pendidikan, perniagaan dan pembangunan ekonomi luar bandar.
“Melalui agensi seperti MyDIGITAL Corporation dan MYNIC Berhad, kementerian memperkukuh usaha mendidik masyarakat agar celik digital serta mempunyai pemikiran digital first,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Digital AgTech oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Digital memberi impak besar kepada sektor pertanian negara.
Tambah beliau, penggunaan teknologi seperti dron, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan data raya membantu petani menjimatkan kos, memantau tanaman serta meningkatkan hasil pertanian sekali gus menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan negara dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial