KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.25 bilion kepada 66,992 usahawan di Sabah sejak 1998 sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa usahawan mikro di negeri itu.
TEKUN Nasional dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak RM95 juta disalurkan kepada 1,750 usahawan Sabah bagi tahun ini sahaja.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata bantuan pembiayaan yang disalurkan diharap dapat membantu usahawan memperkukuh operasi dan meluaskan pasaran perniagaan masing-masing.
“Semoga usahawan yang menerima cek pembiayaan pada hari ini menggunakan peruntukan itu sewajarnya dalam mengembangkan perniagaan. Para usahawan di luar sana yang masih tercari-cari sumber kewangan untuk modal pusingan perniagaan boleh hadir ke pejabat TEKUN Nasional berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Semalam, 10 usahawan Sabah menerima pembiayaan berjumlah RM29,000 pada Majlis Taklimat Pembiayaan TEKUN Nasional dan Perjumpaan Usahawan yang berlangsung di Dewan Gopog, Tanginambur, Tanginambur Kota Belud.
TEKUN Nasional turut menyasarkan untuk membantu 40,300 usahawan mikro di seluruh negara tahun ini melalui peruntukan RM330 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025, termasuk RM150 juta khusus untuk 5,300 usahawan Sabah.
Sejak beroperasi 27 tahun lepas, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan bernilai RM10.76 bilion kepada 606,049 usahawan di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial