EKONOMI

Khazanah Kekal Tidak Ulas Perbincangan Nadir Bumi Malaysia-China

03/10/2025 04:23 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram & Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd kekal tidak memberi sebarang komen mengenai laporan yang menyatakan Malaysia dan China sedang mengadakan perbincangan berkenaan dengan projek loji penapisan nadir bumi.

Pada Khamis, Reuters melaporkan kedua-dua negara berada dalam perbincangan awal mengenai projek untuk memproses nadir bumi, dan Khazanah dijangka bekerjasama dengan sebuah syarikat milik kerajaan China untuk membina loji penapisan di Malaysia.

“Dasar Khazanah adalah untuk tidak mengulas khabar angin dan spekulasi pasaran, oleh itu kami tidak dapat menjawab soalan khusus anda pada masa ini,” menurut dana kekayaan berdaulat itu kepada Bernama hari ini.

Pada masa ini, anak syarikat kepada Lynas Rare Earths Ltd yang berpusat di Australia, Lynas Malaysia Sdn Bhd mengendalikan satu-satunya kemudahan pemprosesan nadir bumi di negara ini.

Kemudahan itu juga merupakan loji pemprosesan nadir bumi tunggal terbesar di dunia dan terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang.

Loji itu mengeluarkan bahan nadir bumi terasing berkualiti tinggi untuk dieksport ke pasaran pembuatan di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Pada 27 Ogos, 2025, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kerajaan komited untuk membangunkan dan menarik pelabur berpotensi bagi mengukuhkan aktiviti pengeluaran di sepanjang rantaian bekalan unsur nadir bumi (REE) Malaysia.

“Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021-2030 akan menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan bahan maju, termasuk sumber bijih mineral REE yang bernilai tinggi,” katanya.

Malaysia dianggarkan mempunyai 16.1 juta tan REE bukan radioaktif dengan nilai pasaran RM809.6 bilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan