PORT DICKSON, 3 Okt (Bernama) -- Pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Arvid de Kleijn merangkul kemenangan peringkat bagi kali kedua pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas mengungguli peringkat keenam dari Shah Alam ke Port Dickson hari ini.
Pelumba Belanda berusia 31 tahun itu menamatkan saingan sejauh 123.5 kilometer dengan catatan masa dua jam 32 minit 55 saat selepas menguasai perebutan ke garisan penamat secara berkumpulan.
Pelumba Norway Erlend Blikra dari Uno X Mobility berada di tempat kedua manakala Manuel Penalver Aniorte dari Team Polti VisitMalta menduduki tempat ketiga.
De Kleijn menyifatkan kemenangannya sebagai kenangan pahit manis selepas pesaingannya, Matteo Malucelli dari XDS Astana Team gagal menamatkan perlumbaan akibat kemalangan pada kilometer 16.5.
“Pertama sekali, saya ingin katakan bahawa adalah sangat malang Malucelli terlibat dalam kemalangan. Ia sesuatu yang menyedihkan, saya tidak sabar untuk bersaing dengan beliau dalam lebih banyak perlumbaan selepas ini. Saya harap Malucelli cepat sembuh,” katanya selepas perlumbaan.
Kemenangan De Kleijn hari ini menaikkan kedudukannya ke tempat kedua dalam klasifikasi Jersi Jingga (Raja Pecut) dengan 42 mata, hanya tiga mata di belakang peneraju Blikra.
Jersi Putih (Pelumba Asia Terbaik) kekal milik pelumba XDS Astana, Nicolya Vinokuro manakala Jersi Polka Dot (Raja Bukit) terus disarung Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL.
Pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil muncul sebagai Pelumba ASEAN Terbaik bagi peringkat keenam.
Peringkat ketujuh perlumbaan bertaraf 2.Pro akan diteruskan esok dari Melaka ke Medini, Johor sejauh 214.9 kilometer dengan tiga zon pecutan di Sungai Rambai, Semerah dan Pontian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial