Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menyeru kerajaan untuk menyediakan lebih banyak insentif bagi industri itu di bawah Belanjawan 2026.
Ini, katanya, bagi memastikan kemampuan membeli rumah dalam kalangan pembeli serta mengurangkan kos pembinaan dan menggalakkan pembangunan mampan.
Pada masa yang sama, Rehda menggesa kerajaan untuk menghidupkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dengan insentif bersasar, termasuk melanjutkannya sehingga 31 Dis, 2026.
Persatuan itu mencadangkan pengecualian duti setem ke atas memorandum pindah milik bagi rumah berharga antara RM300,001 dan RM1 juta, serta pengecualian perjanjian pinjaman bagi rumah berharga sehingga RM2.5 juta, untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri.
KEBIMBANGAN SST
Rehda membangkitkan kebimbangan mengenai peningkatan kos menjalankan perniagaan, terutamanya dengan pengenaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus ke atas sektor pembinaan.
“Mengenakan cukai ke atas bahan binaan dan juga kemahiran pekerjaan telah menyebabkan 'cukai berganda', yang seterusnya menaikkan harga rumah,” katanya yang sebaliknya mencadangkan kadar keseluruhan sebanyak tiga peratus ke atas kos pembinaan.
Mengenai rangka kerja kawal selia, Rehda berkata model Bina-Kemudian-Jual (BTS), yang dicadang diwajibkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), perlu disertakan sekali bersama sistem Jual-Kemudian-Bina (STB) yang dilaksanakan pada masa ini.
Menjadikan BTS sebagai satu-satunya sistem penyampaian boleh mengurangkan bekalan, menaikkan harga, dan menjejaskan pembiayaan dalam kalangan bank.
Di bawah model BTS, pemaju perlu menanggung beban pembiayaan penuh terlebih dahulu, menjadikan projek lebih berisiko dan memperlahankan pelancaran baharu berbanding sistem STB semasa, di mana prajualan membantu membiayai pembinaan, katanya.
PEMBIAYAAN DAN KONTRAK ADIL
Sementara itu, presiden MBAM Oliver HC Wee berkata rancangan kerajaan untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus tenaga kerja menjelang 2030 di bawah RMK13 akan memerlukan sokongan industri.
Beliau berharapkan satu pembiayaan khusus di bawah Belanjawan 2026, yang disalurkan melalui institusi kerajaan, untuk membantu syarikat melakukan transformasi.
Wee juga membangkitkan kebimbangan mengenai pengenaan mengejut SST sebanyak enam peratus ke atas kontrak pembinaan sebelum 1 Julai 2025, yang menurutnya telah menjejaskan kos projek sambil menambah MBAM telah membuat rayuan supaya cukai itu berkuat kuasa hanya bermula dari Julai 2025 atau Januari 2026 dan tidak dilaksanakan secara retrospektif.
PENGGUNAAN IBS
Mengenai penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), beliau berkata rancangan kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik antara 2026 dan 2035 menawarkan peluang untuk mengembangkan penggunaan IBS.
“Kerajaan perlu memulakan inisiatif menggunakan IBS dalam semua projek kerajaan, bukannya hanya memenuhi skor IBS.
"Bangunan MBAM baharu kami di Putra Heights siap dalam tempoh enam bulan menggunakan IBS, dengan input buruh minimum dan hanya sedikit kecacatan binaan," katanya.
Pada masa yang sama, Wee turut menggesa pindaan terhadap Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (CIPAA) 2012 untuk memendekkan proses adjudikasi dan menambah baik aliran tunai kontraktor.
Beliau berkata penggunaan kontrak kerjasama yang lebih meluas, seperti Borang Kontrak CIDB untuk Kerja-kerja Bangunan (2022), akan menggalakkan pengurusan proaktif dan mengurangkan pertikaian.
MENINGKATKAN PENERIMAGUNAAN ESG
Rehda turut menggesa sokongan padu terhadap penerimagunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan berharap kerajaan dapat melanjutkan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) melangkaui 2026, dengan kelayakan lebih luas merangkumi penyewa, pemilik bangunan dan pemaju.
Persatuan itu mencadangkan insentif seperti pengurangan caj pembangunan atau nisbah plot lebih tinggi untuk pemaju yang mencapai pensijilan Emas atau Platinum, serta 50 peratus rebat yuran penilaian untuk pemilik rumah hartanah yang diperakui hijau dalam tempoh tiga tahun pertama.
Pada masa yang sama, Wee berkata, walaupun amalan mampan tidak kurang pentingnya, namun kos pematuhan kekal sebagai cabaran utama bagi kontraktor dan berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak pembiayaan dan masa yang mencukupi untuk industri itu melakukan peralihan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Okt ini di Parlimen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial