AM

BUDI95: Lebih 2,000 Kad Pengenalan Rosak Cip Diganti - JPN Pahang

02/10/2025 03:51 PM

KUANTAN, 2 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang merekodkan lebih 2,000 penggantian kad pengenalan atau MyKad disebabkan kerosakan cip yang diberikan pengecualian bayaran bermula 23 Sept hingga kini susulan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95). 

Pengarah JPN Pahang Mohammad Abdullah berkata bagi melancarkan proses penggantian, pihaknya mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan semakan cip kad pengenalan sebelum pelanggan mengambil nombor giliran.

"Proses ini dilakukan secara percuma di kaunter Unit Khidmat Pelanggan bagi JPN ibu negeri. Semakan juga boleh dilakukan JPN UTC (Pusat Transformasi Bandar) Pahang dan daerah atau cawangan, bagi memeriksa keadaan kad pengenalan pengunjung sama ada perlu penggantian baharu," katanya kepada Bernama. 

Beliau turut memaklumkan bagi individu yang ingin membuat permohonan bagi proses itu, mereka perlu membawa kad pengenalan yang hendak diganti. 

"Sekiranya kad pengenalan tidak dibawa secara fizikal, permohonan akan diletakkan di bawah permohonan gantian kad pengenalan hilang dan akan dikenakan denda bergantung kepada kali keberapa kad pengenalan itu hilang," katanya. 

Mohammad berkata semua individu yang mempunyai kad pengenalan dengan cip rosak layak mendapat pengecualian bayaran dari 23 Sept hingga 7 Okt ini. 

Namun, beliau berkata bagi kategori penggantian kad pengenalan individu berusia 18 tahun akan dikenakan bayaran RM10 selaras dengan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Selain itu, perkhidmatan penggantian kad pengenalan secara bergerak bagi warga emas, orang kurang upaya, pesakit terlantar dan mereka yang tiada keupayaan untuk datang ke kaunter JPN terdekat turut disediakan oleh Bahagian MEKAR dan Korporat JPN Pahang.

"Ia dilaksanakan menerusi Program MEKAR Ihsan dan Program MEKAR Komuniti sama ada di kawasan pedalaman atau luar bandar mahupun kawasan bandar. 

"Pemohon yang tidak berkemampuan boleh menghubungi pejabat JPN berhampiran untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan