KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Koridor Singapura-Johor dikenal pasti sebagai antara tiga “Hab Kuasa Kecerdasan Buatan (AI)” global yang pesat membangun, di samping London–Dublin dan Virginia–Pennsylvania, menurut laporan Digital Infrastructure Collective Asia.
Menerusi laporan Global Data Centre Report 2025 yang diterbitkan buat pertama kalinya hari ini, ia mengangkat kedudukan strategik koridor ini sebagai pusat utama pembangunan AI di Asia, disokong oleh kapasiti pusat data yang kukuh, dasar mesra teknologi, serta kekuatan pelengkap dalam sektor semikonduktor, keterhubungan dan strategi tenaga.
“Laporan tersebut mengenal pasti Asia Pasifik sebagai rantau pusat data yang berkembang paling pesat di dunia, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 19.3 peratus dari 2019 hingga 2024, mengatasi Amerika (18.8 peratus) dan Eropah (13.3 peratus),” kata organisasi penyelidikan bebas itu dalam satu kenyataan.
Laporan itu turut menyebut bahawa koridor Singapura–Johor telah menarik perhatian sebagai antara titik penting bagi infrastruktur digital paling berpotensi di dunia.
Ia berpaksikan kepada kapasiti pusat data yang kritikal, strategi tenaga mampan, jaringan keterhubungan yang mantap, rantaian bekalan semikonduktor, ekosistem teknologi yang rancak, kedudukan geostrategik, serta Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
“Singapura kini memiliki lebih 1,000 megawatt (MW) kapasiti pusat data, manakala Johor melonjak daripada hanya 10MW pada 2021 kepada lebih 1,500MW menjelang 2024.
“Peningkatan pesat ini didorong oleh pelaksanaan laluan pantas ‘Green Lane Pathway’, yang memendekkan tempoh pembinaan kepada hanya 12 hingga 14 bulan. Secara keseluruhan, kapasiti koridor ini dijangka melepasi 3,500MW menjelang 2030,” katanya.
Ia turut menekankan bahawa kemunculan hab AI bukan sahaja bergantung kepada peluasan kapasiti, tetapi turut dipacu oleh faktor-faktor utama dalam membina infrastruktur AI mampan.
Ini termasuk ketersediaan tenaga, sokongan dari segi kawal selia, pertumbuhan penyedia perkhidmatan berskala besar dan penjajaran strategik dari segi geopolitik.
Kepantasan untuk membangunkan pusat data berskala besar ke pasaran turut dipengaruhi oleh kesiapsiagaan grid dan kelulusan kawal selia, khususnya yang berkaitan dengan tenaga boleh baharu serta sumber tenaga baharu yang lain, kata laporan itu.
Sementara itu, rakan kongsi dan pengasas bersama Digital Infrastructure Collective Asia Tim Lin berkata koridor Singapura–Johor merupakan satu contoh unik bagaimana kekuatan yang saling melengkapi boleh mewujudkan satu pusat digital yang mampu menjadi tonggak rantau ini.
“Mengenal pasti potensi kuasa AI akan tertumpu bukan hanya soal kapasiti semata-mata, malah ia menuntut kefahaman kesalinghubungan antara teknologi, tenaga dan geopolitik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial