KOTA KINABALU, 30 Sept (Bernama) -- Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa Zara Qairina Mahathir tidak pernah menjerit atau menangis sebelum pelajar tingkatan satu itu bertemu dengan pelajar senior susulan insiden kecurian di asrama pada 15 Julai lepas.
Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada remaja terbabit dalam kes buli Zara Qairina, berkata saksi memaklumkan bahawa remaja itu kelihatan seperti agak terganggu selepas berjumpa dengan pelajar senior dan berbaring di lantai sambil menangis di depan almari.
Berkongsi keterangan saksi kelapan kanak-kanak itu selepas prosiding inkues, Ram Singh berkata remaja tersebut memaklumkan bahawa Zara Qairina juga ada berteriak sambil menafikan bahawa dia mencuri.
"Kata saksi, dia tidak tahu bagaimana kejadian Zara Qairina berjumpa dengan pelajar senior kerana tidak pergi ke bilik berkenaan dan saksi juga memberitahu pelajar senior tersebut tidak pernah berjumpa Zara Qairina sebelum itu," katanya.
Berkongsi lanjut keterangan saksi berkenaan, Ram Singh berkata remaja itu juga memaklumkan bahawa Zara Qairina tidak pernah mengadu tentang masalah persendirian atau berkonflik dengan sesiapa atau gangguan yang dihadapinya semasa di asrama seperti buli, tekanan belajar dan keletihan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial