ALOR SETAR, 30 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berharap kerajaan akan meluluskan peruntukan bagi penyelenggaraan sistem pengairan dan infrastruktur tanaman padi berjumlah hampir RM48 juta dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan 10 Okt ini.
Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata menerusi belanjawan kali ini, pihaknya juga berharap kerajaan dapat mengembalikan insentif tunai berjumlah RM600 kepada golongan pesawah bagi membantu meringankan beban mereka.
“Penyelenggaraan tali air dan sistem pengairan perlu dilakukan sekurang-kurangnya empat kali setahun yang melibatkan 44 blok lama… ia penting bukan hanya semasa musim hujan lebat, tetapi ia juga untuk bekalan air dan pengairan air semasa aktiviti penanaman padi biasa dilakukan.
“Peruntukan itu juga bagi membolehkan beberapa inisiatif lain yang dirancang dapat dilaksanakan termasuk penambahan mesin dan penglibatan golongan muda yang menjadi antara penyumbang utama kepada penambahan hasil padi negara,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Jentera MRTC di Kompleks Latihan MADA Alor Serdang dekat sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dr Ismail berkata MADA telah mengambil beberapa langkah kesiapsiagaan rapi bagi memastikan aktiviti penanaman padi musim 2/2025 lancar dalam tempoh fasa peralihan monsun yang dijangka berlaku susulan fenomena La Nina yang dijangka bermula hari ini hingga November depan.
Beliau berkata MADA telah menyelenggara sepenuhnya semua infrastruktur termasuk struktur kawalan dan ban saluran utama bagi memastikan sistem pengairan dan saliran berada dalam keadaan optimum sekali gus memastikan tiada risiko kerosakan berlaku pada tanaman petani.
“Kita dalam mod siap siaga dengan pelan pengurusan bencana yang telah diaktifkan secara sistematik. MADA turut memperkukuh bantuan logistik dengan barisan aset yang lengkap dan bersedia digerakkan termasuk pam bergerak, bot, lori dan jentera jengkaut sekiranya diperlukan,” katanya.
Dr Ismail berkata setakat 24 Sept lepas, penuaian padi di kawasan Muda telah mencapai 50 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial