SEREMBAN, 29 Sept (Bernama) -- Negeri Sembilan bakal menerima pelaburan baharu dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM300 juta menerusi pembangunan projek gudang automatik berteknologi tinggi di Bandar Enstek, di sini.
Projek itu bakal dibangunkan secara kerjasama antara anak syarikat TH Properties Sdn Bhd, THP Enstek Development Sdn Bhd dan Kasumigaseki Capital (Malaysia) Sdn Bhd.
Persetujuan bagi pembangunan projek itu dimeterai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara THP Enstek dan Kasumigaseki Capital pada majlis pelancaran hari pembukaan Minggu Negeri Sembilan di Pavilion Malaysia, Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Kansai Jepun, hari ini.
Majlis pelancaran Minggu Negeri Sembilan itu yang berlangsung bermula hari ini hingga 5 Okt disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyaksikan permeteraian MoU berkenaan berkata jalinan usaha sama strategik itu dijangka dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.
“Selain itu ia juga akan memperkukuh daya saing Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi di rantau ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata pada majlis yang sama, kerajaan negeri melalui Invest NS turut menganjurkan program Majlis Apresiasi Pelabur Baharu sebagai tanda penghargaan kepada syarikat luar negara yang menunjukkan komitmen untuk melabur di Negeri Sembilan.
Menurutnya, lima syarikat dari Jepun dikenal pasti sebagai prospek pelabur baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi utama negeri terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan logistik.
Aminuddin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri itu berkata pelaburan oleh syarikat terbabit bukan sahaja bakal meningkatkan nilai pelaburan negeri secara keseluruhan, malah dapat mencipta peluang pekerjaan baharu serta memperkukuh pembangunan teknologi dan inovasi.
“Projek pelaburan yang bakal dilaksanakan merupakan hasil langsung daripada usaha proaktif kerajaan negeri melalui misi pelaburan antarabangsa serta inisiatif berterusan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan utama.
“Dasar yang terbuka dan mesra pelabur, penyampaian perkhidmatan cekap dan berkesan, jaringan infrastruktur yang diperkukuh serta penciptaan ekosistem perniagaan kondusif antara faktor utama menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.
Menurutnya, dengan keyakinan pelabur terhadap persekitaran perniagaan yang stabil dan sokongan dasar yang progresif, kerajaan negeri yakin sasaran pelaburan yang ditetapkan mereka dapat direalisasikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial