JOHOR BAHRU, 29 Sept (Bernama) -- Kerajaan Johor menyeru orang ramai termasuk pelawat asing supaya memuat turun aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi melancarkan proses kemasukan dan pelepasan imigresen di pintu masuk negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata tinjauannya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) hari ini mendapati masih ramai pengguna belum mendapat maklumat mengenai sistem berkenaan.
“Di kaunter kereta, meskipun kemudahan sistem kod QR telah disediakan di enam kaunter masuk dan keluar, saya dapati masih ada pengguna yang belum mengetahui perkara ini.
“Justeru, saya menyeru semua yang kerap berulang-alik dari Johor ke Singapura agar mendaftar MyNIISe kerana penggunaan kod QR ini akan diperluaskan ke semua kaunter pintu sempadan dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan percubaan sistem itu di KSAB dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bermula 22 Sept lalu hingga 28 Feb tahun depan. Sepanjang tempoh percubaan, sistem kod QR dan aplikasi MyBorderPass sedia ada masih diteruskan.
Sistem NIISe merupakan antara inisiatif utama di bawah agenda reformasi kerajaan, dengan pelaksanaannya dipercepat daripada jadual asal iaitu Mac 2026. Aplikasi berkenaan kini boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.
Pada masa sama, Mohamad Fazli berkata beliau turut meninjau kemajuan kerja pemasangan lapan mesin pengecaman wajah (FR) dan kod QR (empat unit masuk, empat unit keluar) bagi menggantikan peralatan lama yang telah rosak.
“Mesin ini akan berfungsi sama seperti MyBorderPass tetapi menggunakan aplikasi MyNIISe. Insya-Allah, peralatan ini akan mula diuji pada pertengahan bulan depan sebelum diperluaskan ke semua kaunter motosikal di KSAB dan BSI,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial