JENAYAH & MAHKAMAH

Pemuda Didakwa Bunuh, Bakar Kekasih Hamil Kekal Hasrat Tukar Pengakuan Kepada Bersalah

29/09/2025 12:53 PM

KLANG, 28 Sept (Bernama) -- Seorang pemuda yang berdepan pertuduhan membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di Sabak Bernam dua tahun lepas, masih berhasrat untuk menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah di Mahkamah Tinggi di sini. 

Peguam Muhammad Nor Tamrin berkata beliau dimaklumkan mengenai hasrat Muhammad Fakrul Aiman Sajali itu hari ini.

"Semalam, saya dihubungi anak guam menerusi panggilan telefon supaya mempertimbangkan perkara itu secara menyeluruh… selepas dinasihatkan sekali lagi pagi ini, dia memberitahu masih mahu menukar pengakuan kepada bersalah," katanya kepada pemberita di luar mahkamah. 

Susulan itu, Muhammad Nor berkata beliau memohon agar mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi membolehkan pertuduhan terhadap Muhammad Fakrul, 22, dibacakan semula.

Penolong Kanan Pendaftar Luqman Abdul Haris kemudian menetapkan 10 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Prosiding hari ini, yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli, sepatutnya mendengar keputusan representasi dalam kes berkenaan.

Pada 8 Sept lepas, Hakim Norliza Othman menetapkan hari ini bagi mengetahui status representasi Muhammad Fakrul yang memohon untuk menukar pengakuannya daripada tidak bersalah kepada bersalah. 

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 23 dan 27 Feb diikuti 9 hingga 13 Mac dan 30 Mac hingga 3 April 2026 sebagai tarikh perbicaraan.

Pada 15 Mei lepas, mahkamah membenarkan permohonan agar Muhammad Fakrul Aiman, yang didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.

Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh pelayan restoran itu di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan