KANGAR, 28 Sept (Bernama) -- Penganjuran Program Kembara Bahasa Menjulang Budaya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Salang di sini, menjadi wadah memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan serantau antara pelajar Malaysia dengan Thailand.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid berkata program tiga hari bermula dari Jumaat lepas itu melibatkan penyertaan 150 pelajar Kelab Rukun Negara dari SK Kampong Salang, 25 pelajar masing-masing dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kangar dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Aik, Arau serta 40 pelajar bersama-sama 30 guru pengiring dari Bankhun School Satun, Thailand.
“Program sebegini amat penting kerana membuka ruang untuk saling mengenali budaya, adat resam, bahasa dan cara hidup masyarakat di negara jiran. Perbezaan bukanlah jurang pemisah, sebaliknya jambatan yang menyatukan kita atas dasar saling menghormati dan memahami.
"Saya yakin para pelajar bukan sahaja dapat menimba ilmu dan pengalaman baharu, malah turut berpeluang memupuk nilai perpaduan, toleransi serta semangat kejiranan antarabangsa," katanya ketika berucap merasmikan program itu di SK Kampong Salang malam tadi.
Haslina berkata penganjuran program itu juga selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala dengan Thailand dalam aspek pendidikan, kebudayaan dan perpaduan masyarakat serantau.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan, beliau berkata kementeriannya sentiasa komited memperkasakan program Rukun Negara di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti bagi melahirkan generasi berilmu, berdisiplin dan bertanggungjawab.
“Penghayatan lima prinsip Rukun Negara bukan sahaja perlu dalam aktiviti rasmi kelab, tetapi juga dalam kehidupan seharian kerana dapat membentuk masyarakat yang saling menghormati, bekerjasama dan bersatu padu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial