Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 27 Sept (Bernama) -- Perenang para negara Abd Halim Mohammad menutup kempen Malaysia pada hari terakhir Kejohanan Renang Para Dunia 2025 di Singapura dengan mencatatkan rekod peribadi baharu dalam acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB8 (kecacatan fizikal) hari ini.
Pemenang lima pingat emas Sukan Para ASEAN 2023 itu mencatat masa 1 minit 14 saat (s) untuk menamatkan perlumbaan di tempat keenam daripada lapan perenang pada final yang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC.
“Masa yang saya berjaya catatkan jauh lebih baik daripada yang disasarkan. Pada kejohanan tahun ini, saya berjaya masuk final dua-dua acara dan kedua-duanya berjaya cipta catatan masa peribadi baharu,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Abd Halim mara ke final selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh daripada 11 perenang dengan catatan masa 1:15.52.
Pada Khamis lepas, perenang berusia 27 tahun itu menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara akhir 50m gaya bebas lelaki S8 (kecacatan fizikal) dengan catatan peribadi baharu 27.16s pada saringan.
Atlet kelahiran Sabah itu berkata beliau sangat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan di Singapura, yang disifatkan sebagai peningkatan besar dari segi masa dan teknik berbanding penampilan sulung pada Kejohanan Renang Para Dunia di Manchester dua tahun lepas. Beliau kini akan menumpukan perhatian pada Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.
“Setakat ini masih tiada senarai akhir, tapi saya sasarkan lima acara termasuk satu acara baharu untuk kekalkan kutipan pingat emas pada Sukan Para ASEAN,” katanya.
Juara tujuh kali Sukan Paralimpik Andrei Kalina, yang beraksi di bawah bendera Atlet Paralimpik Neutral (NPA) merangkul pingat emas dalam acara 100m kuak dada lelaki SB8 tetapi gagal memperbaharui rekod dunia dan kejohanan selepas merekodkan masa 1:08.43.
Daniil Smirnov, juga dari NPA meraih perak dengan catatan 1:10.72, manakala pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016 Oscar Salguero Galisteo dari Sepanyol membawa pulang gangsa.
Sementara itu, perenang para negara Brenda Anellia Larry terlepas peluang mara ke final acara 200m gaya bebas wanita S4 (kecacatan fizikal) selepas menamatkan saringan di tempat terakhir daripada sembilan perenang, meskipun mencatatkan rekod peribadi baharu 4:37.95.
Seorang lagi perenang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli tidak mengambil bahagian dalam acara ketiga dan terakhirnya 100m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) kerana masalah kesihatan yang berkaitan dengan kecacatan utama beliau iaitu saraf tunjang.
Pada hari pertama kejohanan, 21 Sept lepas, pemenang dua kali pingat gangsa itu menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara akhir 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal), namun tidak berjaya mara ke final 200m gaya bebas lelaki S5 semalam selepas menduduki tempat ke-10 pada saringan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial