Daripada Vikneswaran Raman
HONG KONG, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menekankan kepentingan dasar berasaskan data, keberanian untuk perubahan dan program inklusif dalam membentuk belia yang bersedia menghadapi masa depan, khususnya dalam menghadapi cabaran sosial dan populasi menua.
Menterinya Hannah Yeoh berkata belanjawan yang terhad tidak seharusnya menjadi penghalang, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin kepada inovasi, keputusan yang lebih tepat dan impak yang lebih besar.
“Setiap keputusan mesti bersandarkan data, kerana data adalah kompas kami. Ia menunjukkan kepada kami cabaran paling mendesak, kumpulan mana yang paling terdedah dan penyelesaian yang boleh memberikan impak terbesar," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama kepada lebih 3,000 perwakilan dari lebih 30 negara pada Sidang Kemuncak Pembangunan Belia 2025 di sini, hari ini.
Mengambil kes lemas sebagai contoh, Hannah berkata data mendedahkan lonjakan (kes) semasa musim tengkujuh dan di kawasan banjir membawa kepada kementerian memperkenalkan kelas renang percuma di bawah Program Latihan Kemahiran Asas Sukan (KLAS) untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.
Beliau berkata inisiatif itu juga berfungsi sebagai platform untuk pencarian bakat renang, sambil menambah bahawa walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang dikelilingi perairan, ia masih belum menghasilkan pemenang pingat Olimpik dalam sukan itu.
“Data menunjukkan kebarangkalian mangsa banjir terselamat adalah lebih tinggi sekiranya mereka tahu berenang. Pada 2023, kejadian banjir kilat di seluruh dunia berjumlah 130 manakala pada 2025 jumlah itu diunjurkan meningkat kepada 165. Dengan data itu, kami mengenal pasti kawasan kerap berlaku lemas di seluruh Malaysia dan melancarkan kelas renang percuma untuk kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada kolam renang.
“Pada Mei tahun ini, empat perenang para telah menamatkan pelajaran dan mula bersaing dalam kejohanan. Dengan data, kami dapat memahami lebih baik komuniti mana yang paling memerlukan bantuan," katanya.
Mengenai pemerkasaan belia, Hannah menggariskan keperluan untuk melangkaui program kepimpinan bagi 10 peratus yang berjaya dari segi akademik dan sebaliknya memberikan tumpuan kepada baki 90 peratus yang kekurangan akses kepada peluang.
Beliau berkata membuka gimnasium di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) adalah antara usaha Kerajaan MADANI untuk membantu penagih dadah mengamalkan tabiat lebih sihat dan memutuskan kitaran ketagihan.
“Kami bermula dengan Puspen Dengkil tetapi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan kami untuk mengembangkan inisiatif itu ke semua 28 pusat. Kami bekerjasama dengan pengendali gim untuk membaiki peralatan terpakai bagi (kegunaan) pusat-pusat ini.
“Jadi, apabila mereka membiasakan diri dengan gaya hidup yang lebih sihat, kami berharap mereka boleh berubah menjadi warga yang produktif, yang seterusnya akan membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan di penjara dan pusat pemulihan,” katanya sambil menambah bahawa adalah penting untuk melibatkan golongan belia dalam penggubalan dasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial