NILAI, 27 Sept (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melepasi sasaran jualan sayuran dan buah-buahan pada penganjuran FAMA Fest 2025 dengan kutipan lebih RM7 juta bagi enam lokasi pada tahun ini.
Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata penganjuran FAMA Fest 2025 di Sarawak, Johor, Perak, Selangor dan Sabah bermula April lepas telah menarik lebih 385,733 pengunjung, membabitkan 364 usahawan dengan pencapaian jualan RM7.744 juta.
Beliau berkata lokasi terakhir di Negeri Sembilan telah bermula Khamis lepas hingga esok, yang dijangka menarik 20,000 pengunjung dan 40 usahawan dengan sasaran jualan RM400,000.
"Dalam lima lokasi diadakan, FAMA Fest melepasi sasaran ditetapkan iaitu RM6 juta. Penganjuran ini bagi mempromosikan agro makanan tempatan segar atau makanan proses.
"Pencapaian FAMA Fest di Perak sebanyak RM3.28 juta dan di Selangor sebanyak RM3.23 juta merupakan antara yang tertinggi bagi penganjuran tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis FAMA Fest 2025@Negeri Sembilan dan pelancaran Kempen Lebih Makan Buah-Buahan dan Sayuran Tempatan yang turut dihadiri EXCO Kanan kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Abdul Rashid berkata bagi menggalakkan Kempen Lebih Makan Buah-buahan dan Sayuran Tempatan, FAMA bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan yang pakar dalam bidang kejururawatan dan pemakanan.
"Kerjasama ini bagi mengalakkan lebih ramai memilih makan sayuran dan buahan tempatan dengan memberikan penjelasan saintifik dan disokong oleh data," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial