NIBONG TEBAL, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju dengan cadangan supaya sesi townhall bagi merangka Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli turut melibatkan murid sekolah rendah dan menengah, bagi memastikan suara serta pandangan mereka diambil kira.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata langkah itu selaras dengan prinsip libat urus menyeluruh memandangkan pelajar merupakan pemegang taruh utama dalam isu berkaitan buli.
“Kita tidak ada masalah dengan cadangan itu. Saya fikir ia satu proses yang biasa kita lakukan di peringkat kebangsaan iaitu mendapatkan pandangan terus daripada pelajar.
“Natijahnya, kita mahu sesi ini benar-benar mencerminkan suara kanak-kanak dan pelajar kerana mereka pihak yang paling terkesan dalam isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Temu Rakyat Peringkat Parlimen Nibong Tebal di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM sedang menyiasat aduan melibatkan seorang murid perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan mengalami trauma, kemurungan dan kecenderungan mencederakan diri selepas didakwa menjadi mangsa buli.
“Ketua Pengarah Pendidikan sedang menyiasat perkara ini dan tindakan lanjut akan diambil segera,” katanya.
Pada 23 Sept lalu, media melaporkan kes seorang pelajar tingkatan dua yang didakwa trauma selepas dibuli rakan sekolah hingga mengalami kemurungan serta kecenderungan mencederakan diri sendiri.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, program Temu Rakyat di kawasan tersebut akan diadakan setiap bulan bagi merapatkan hubungan kerajaan dengan masyarakat setempat.
Beliau berkata, pelbagai agensi kerajaan turut digabungkan dalam program itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat zakat dan lain-lain, bagi memudahkan rakyat menyelesaikan isu dokumentasi, kebajikan, pendidikan, perumahan serta kesihatan.
“Antara inisiatif hari ini ialah tawaran diskaun 50 peratus saman trafik oleh PDRM, selain program Mekar KDN, bantuan zakat serta pelbagai kaunter khidmat kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial