AM

PM Anwar Mahu Projek Pembinaan Perumahan Tentera Di Sandakan Dipercepat

27/09/2025 12:32 PM

SANDAKAN, 27 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek pembinaan perumahan Angkatan Tentera dengan peruntukan RM190 juta di Batu 10 di sini, disegerakan.

Beliau berkata isu berkaitan masalah tanah bagi projek berkenaan akan cuba diselesaikan dengan kerjasama kerajaan negeri yang berkuasa dalam hal ehwal pentadbiran tanah.

“Saya minta laporan kemajuannya (projek) dalam tempoh dua minggu, mungkin dalam mesyuarat (Kabinet) akan datang dan Panglima Angkatan Tentera memberi laporan, saya nak tahu supaya dipercepat,” kata beliau.

Anwar berkata demikian pada majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Dewan Azim, Taman Samudera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan telah meluluskan pembinaan jeti baharu di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) yang bernilai RM122 juta, tahun ini.

Beliau berkata kedua-dua projek itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara. 

Sementara itu, Mohd Nizam melahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri yang sudi meluangkan masa menyantuni warga ATM serta melihat sendiri pelaksanaan projek yang telah diluluskan itu.

Bagi projek pembinaan Kuarters Perumahan Angkatan Tentera melibatkan 225 unit rumah, Mohd Nizam  berkata ia berada pada proses akhir tender dan dijangka siap pada 2030.

“Kami akan pastikan tidak ada kelewatan kerana perumahan adalah satu daripada kebajikan yang dititikberatkan sekarang,” katanya.

Mohd Nizam turut berterima kasih atas keprihatinan kerajaan MADANI yang menjadikan anggota pasukan keselamatan sebagai kumpulan peringkat pertama menerima Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi BUDI95.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan