PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) -- Acara Putrajaya Parks Day 2025 di Taman Botani, Presint 1 di sini menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya yang bermula hari ini.
Bertemakan “Raikan Belia, Menginspirasikan Masa Depan” penganjuran kali ini merupakan edisi keempat sejak diperkenalkan pada 2019 di Taman Wetland, Taman Wawasan (2020) dan Taman Warisan Pertanian pada tahun lepas.
Terdahulu, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Putrajaya Parks Day 2025 dan meluangkan masa lebih satu jam melawat Laman Anggerik, Laman Malaysia MADANI dan Laman Rusa diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Siti Fadilah Ramli dalam kenyataan sempena program itu, berkata pemilihan tema acara bagi penganjuran kali ini menzahirkan komitmen PPj untuk menggalakkan penglibatan belia dalam membina masa depan lestari sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 dan SDG 11 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan serta Bandar dan Komuniti Mampan.
Beliau berkata pengunjung juga boleh mencuba aktiviti lasak di Fit Fun Zon seperti zipline, tree climbing dan sling shot manakala Zootopia menawarkan pengalaman mesra keluarga bersama petting zoo oleh Farm in the City dan di Laman Rusa.
"Suasana Putrajaya Parks Day turut dimeriahkan denga kehadiran trak makanan, jualan pokok dan buah-buahan segar, pameran oleh Putrajaya Holdings serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Kementerian Kesihatan," katanya.
Seorang pengunjung Azira Solihin, 38, ketika ditemui berkata beliau membawa tiga anaknya ke acara itu dengan seorang daripadanya turut menyertai aktiviti mewarna di Laman Malaysia MADANI.
"Saya dapat tahu mengenai program ini daripada Facebook PPJ dan datang dari Seri Kembangan. Saja nak bawa anak-anak sebab ada banyak aktiviti bersama keluarga, mereka pun akan berasa seronok," kata pekerja swasta itu.
Selain itu, acara tersebut turut menjadi platform memperkukuh jaringan komuniti, mempromosikan bandar mesra alam dan memberi inspirasi kepada generasi muda agar lebih aktif dalam melindungi alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial