KOTA KINABALU, 26 Sept (Bernama) -- Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Kem Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, dipilih sebagai kumpulan pertama menjayakan projek tanaman hidrofonik di bawah Program Ekonomi MADANI.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, melibatkan seramai 10 orang ahli BAKAT dengan peruntukan sebanyak RM60,000.
“Setiap peserta akan menerima set hidroponik, rumah hijau, sistem solar termasuk peralatan operasi serta penyelenggaraan dan setiap peserta dijangka memperoleh pendapatan sampingan sebanyak RM900 sebulan,” katanya, berucap sempena lawatan kerja ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada Program Jelajah Wira MADANI Negeri Sabah, di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Mejar Jeneral Datuk Riezal Arif Ismail dan Panglima Wilayah Laut 2 Laksama Muda Datuk Yusne Mokhtar.
Mohamed Khaled berkata melalui program itu, peserta dijangka akan dapat menuai hasil dalam tempoh enam bulan dan akan diperluas sekiranya berjaya dilaksanakan dengan bimbingan daripada UMS.
Sementara itu dalam kenyataan media selepas program itu, Mohamed Khaled menyampaikan bantuan barangan persekolahan kepada 662 penerima kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM dan menyampaikan cek cura bernilai RM25,000 kepada sekolah berkenan.
Beliau berkata Bantuan Kecemasan Bencana ATM juga diberikan kepada 15 orang anggota yang terkesan akibat bencana banjir melanda Sabah baru-baru ini.
“Selain itu penyerahan cek cura sumbangan Tabung Kecemasan Bencana Alam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada 11 syarikat sebanyak RM400,000 kepada Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial