KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) meraih Anugerah Pembangunan Mampan (SDA) dalam kategori ‘Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15: Kehidupan di Darat’ untuk inisiatif utamanya, Inisiatif Burung Pungguk Jelapang untuk Pekebun Kecil (BOSI).
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam satu majlis yang menghimpunkan 30 finalis cemerlang di Kuching pada 21 September, 2025.
Dalam satu kenyataan, MPOGCF berkata BOSI menyokong pekebun kecil sawit dalam menggunakan burung hantu sebagai penyelesaian semula jadi dan mampan untuk menguruskan haiwan perosak.
Selain itu ia mengurangkan kebergantungan kepada racun perosak kimia yang secara langsungnya meningkatkan pemuliharaan biodiversiti dan melindungi ekosistem untuk generasi akan datang.
Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud berkata anugerah itu berfungsi sebagai pemangkin untuk projek-projek yang memberi manfaat kepada pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit termasuk pekebun kecil, sambil meningkatkan imej kemampanan minyak sawit Malaysia.
"MPOGCF akan mengembangkan inisiatif BOSI melalui BOSI 2.0 yang akan melibatkan penyertaan lebih ramai pekebun kecil sawit," katanya.
Yayasan itu juga turut menyampaikan penghargaan kepada Dr Hasber Salim dan Kumpulan Penyelidikan Burung Hantu dan Tikus (BORG) di atas komitmen, inovasi dan kerja keras mereka terhadap BOSI yang telah banyak menyumbang kepada pertanian mampan dan pemuliharaan biodiversiti.
Inisiatif ini yang digerakkan oleh Junior Chamber International Malaysia, SDA mengiktiraf organisasi, syarikat dan institusi yang telah memberikan sumbangan besar ke arah memajukan SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial