AM

Rumah Mesra Rakyat: Ada Peminjam Culas Bayaran Balik, Belum Ada Dikenakan Tindakan Berat

26/09/2025 05:50 PM

TANJONG KARANG, 26 Sept (Bernama) -- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengakui wujud peminjam yang culas membuat bayaran balik pinjaman Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara, walaupun kadar bayaran yang dikenakan rendah.

Pengerusinya Datuk Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata walau bagaimanapun, pihaknya sentiasa memberi ruang kepada peminjam bermasalah untuk melangsaikan hutang dan sehingga kini belum ada mana-mana peminjam yang dikenakan tindakan berat.

“Kita kena faham, SPNB perlu menunaikan amanah yang telah dimandatkan…kami perlu kerjasama peminjam terdahulu untuk patuh kepada jadual bayaran semula, demi kebaikan peminjam kemudian hari yang memerlukan dana dari sumber yang sama.

“Isu culas (bayar) memang ada, tetapi boleh dikatakan tidak banyak dan terkawal. SPNB komited menguruskan masalah ini agar tidak meruncing, sekali gus memberikan kesan besar terhadap bantuan pinjaman yang telah disalurkan sejak 2002,” katanya pada sidang media di Blok Q Sawah Sempadan, di sini hari ini.

Mohd Azmi berkata SPNB tidak menghalang peminjam yang juga pemilik unit RMR untuk mengubah suai kediaman, tetapi mereka seharusnya tidak alpa dengan tanggungjawab melunaskan hutang pinjaman seperti yang telah dipersetujui.

Beliau berkata SPNB telah merangka pelbagai kaedah untuk membantu peminjam culas menyelesaikan hutang secara berhemah.

“Sebenarnya SPNB sudah cakna dengan isu ini sejak awal, sebab itu kami merangka pelbagai kaedah sesuai buat peminjam, termasuk kaedah gadaian tanah dan moratorium selama lima tahun yang membolehkan mereka menyelesaikan keseluruhan pinjaman secara total.

“Namun sehingga kini kami berjaya menyelesaikan masalah tanpa perlu mengambil semula rumah atau tanah mereka secara baik mengikut perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

Terdahulu, Mohd Azmi menyerahkan sebuah rumah baharu yang siap dibina di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SPNB kepada Muhamad Zulhadi Mispar, iaitu mangsa kebakaran sebuah kediaman di sini pada 26 Mei lepas.

Difahamkan Muhamad Zulhadi, 27, dan tujuh ahli keluarganya yang lain kini menumpang di sebuah inap desa di kawasan berdekatan, menerima sumbangan rumah daripada SPNB secara penuh tanpa perlu membuat sebarang bayaran balik.

Untuk rekod, sejak 2002 hingga Ogos tahun ini, SPNB yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), telah membina 73,167 unit RMR di seluruh negara dengan 3,814 unit daripadanya dibina di Selangor.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan