DUNIA

Malaysia Gesa PBB Perkukuh Kerjasama Dengan Badan Serantau Dalam Usaha Pengantaraan

26/09/2025 10:46 AM

Daripada Muhammad Faiz Baharin

NEW YORK, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkukuh kerjasama dengan organisasi serantau dalam usaha pengantaraan, sambil menegaskan bahawa kerjasama sedemikian amat penting bagi menangani konflik berterusan dan memajukan keamanan yang mampan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengantaraan tidak boleh hanya bergantung kepada inisiatif ad hoc atau kehendak politik semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada usaha menyeragamkan kerjasama lebih kukuh antara PBB dan organisasi serantau.

“Kumpulan seperti ASEAN atau Kesatuan Afrika mampu menyokong proses pengantaraan kerana mereka mampu memberi pandangan mengikut konteks yang mendalam, keupayaan amaran awal, serta keabsahan tempatan.

“Penyelarasan yang lebih baik akan membawa hasil yang lebih baik. Ini boleh dicapai dengan membangunkan rangka kerja lebih tersusun untuk penugasan bersama PBB-serantau dalam pengantaraan, selain membolehkan perkongsian sumber serta peminjaman teknikal,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Sahabat Pengantaraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang diadakan sempena Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini pada Khamis.

Beliau turut menegaskan kepentingan usaha pengantaraan diberi keutamaan sebagai agenda teras keamanan dan keselamatan.

“Negara anggota seharusnya mempertimbangkan pembiayaan jangka panjang yang boleh diramal untuk aktiviti pengantaraan, dan beralih daripada amalan semasa yang bergantung kepada sumber berpecah-belah,” katanya.

Namun beliau mengakui keupayaan UNGA menyelesaikan konflik sering terhad akibat penyalahgunaan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan.

“Semua ini berlaku ketika sistem antarabangsa berasaskan peraturan semakin rapuh akibat tekanan perubahan iklim, gangguan teknologi, ketakjaminan makanan, serta penyebaran retorik berpecah belah dalam talian.

“Namun, seiring dengan evolusi kelemahan kita, begitu juga kekuatan kita.

“Masa depan pengantaraan akan semakin dibentuk oleh kemunculan aktor baharu serta pertumbuhan teknologi moden,” katanya.

Menteri Luar itu turut mengulangi komitmen Malaysia untuk memajukan budaya global berteraskan dialog, pencegahan dan keamanan, dengan menekankan bahawa mesyuarat itu berlangsung pada saat kritikal ketika orang awam terus menanggung derita akibat konflik yang tidak selesai di Gaza, Ukraine, Sudan dan Myanmar.

“Di Timur Tengah, bukan sahaja pembunuhan berterusan, malah pengantaraan itu sendiri turut diserang.

“Serangan Israel terhadap Qatar adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan amat menjejaskan segala usaha membina keamanan di rantau itu.

“Ketika kita melihat ke hadapan untuk 80 tahun akan datang dan seterusnya, marilah kita memperbaharui komitmen membina sistem yang lebih menyokong kerjasama serantau serta mempercayai mereka sebagai pakar dalam usaha keamanan di tanah air masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan