DUNIA

Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS Didorong Data Ekonomi AS Lebih Baik

26/09/2025 09:13 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Ringgit rendah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu mengukuh selepas data ekonomi negara tersebut mencatatkan prestasi yang lebih baik.

Pada 8.05 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.2200/2300 berbanding dolar AS daripada 4.2085/2120 semasa ditutup pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penurunan mendadak dalam tuntutan pengangguran mingguan di AS kepada paras terendah sejak 2022 telah membantu meredakan kebimbangan mengenai kemerosotan pasaran buruh yang ketara.

“Prestasi positif ini turut disokong oleh semakan semula Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang lebih kukuh daripada jangkaan, menunjukkan kadar pertumbuhan paling pesat dalam tempoh hampir dua tahun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata gabungan data tersebut telah meredakan kebimbangan bahawa dasar perdagangan dan tarif Presiden AS Donald Trump akan menjejaskan ekonomi AS, sebaliknya mengukuhkan pandangan bahawa negara itu masih berada pada kedudukan yang kukuh.

“Oleh itu, ringgit dijangka berdepan tekanan jualan baharu dengan sentimen terhadap pasaran membangun kekal berhati-hati sehingga terdapat gambaran lebih jelas mengenai inflasi AS dan dasar Rizab Persekutuan AS menjelang Oktober,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangka ringgit diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.21 dan RM4.22 hari ini.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus mengukuh, dengan anggaran akhir KDNK AS bagi suku kedua disemak semula kepada 3.8 peratus berbanding anggaran sebelum ini sebanyak 3.3 peratus.

Pada sesi pembukaan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8146/8215 daripada 2.8283/8308 semasa ditutup semalam, naik berbanding euro kepada 4.9197/9313 daripada 4.9429/9470 dan tinggi berbanding pound kepada 5.6257/6390 daripada 5.6600/6647.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2589/2669 daripada 3.2662/2692 dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0897/1285 daripada 13.0959/1133 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding peso Filipina kepada 7.26/7.28 daripada 7.24/7.25 semasa ditutup semalam dan sedikit berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 251.9/252.6 daripada 251.2/251.5 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan