EKONOMI

AANZFTA Dipertingkatkan Praktikal Dan Progresif - Menteri Perdagangan New Zealand

25/09/2025 08:18 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- New Zealand menggambarkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) yang dipertingkatkan sebagai model kukuh bagaimana kedua-dua negara dan kumpulan berkenaan menangani cabaran ekonomi semasa secara praktikal dan progresif.

Menteri Perdagangan dan Pelaburan New Zealand Todd McClay berkata negaranya meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dialog dengan ASEAN dan nilai kerjasama erat dan dipercayai ini amat besar.

"Saya telah bercakap dengan banyak pihak tahun ini dan membincangkan komitmen bersama kami terhadap pasaran terbuka dan sistem perdagangan berasaskan peraturan yang kukuh.

“Saya berbesar hati dapat berada di sini bagi menegaskan semula komitmen ini,” kata McClay semasa Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM)-Hubungan Ekonomi Lebih Rapat (CER) ke-30 hari ini.

Beliau berkata AANZFTA yang dipertingkatkan ini memberi manfaat sebenar kepada perniagaan dan mengukuhkan daya tahan serantau pada masa yang amat diperlukan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell dalam ucapannya berkata kerjasama ini berteraskan kepercayaan dan persahabatan.

“(Kerjasama ini) membolehkan kami membincangkan cabaran baharu dalam dasar perdagangan global. Saya mengharapkan mesyuarat yang produktif ini terutama dalam membincangkan pelaksanaan AANZFTA, termasuk bagaimana program perdagangan dan pembangunan serantau Australia dan New Zealand menyokong negara anggota ASEAN,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata Australia dan New Zealand adalah antara rakan kongsi ekonomi terpenting ASEAN dari segi pelaburan dan perdagangan.

“Tahun ini mempunyai kepentingan yang istimewa apabila kita meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN dengan New Zealand dan ulang tahun ke-51 dengan Australia.

“Pencapaian penting ini menjadi bukti kepada kerjasama mendalam kami dan kepercayaan yang dibina sepanjang tahun melalui perhubungan yang konstruktif,” katanya.

Tengku Zafrul berkata perbincangan itu juga meliputi maklumat terkini mengenai pelaksanaan protokol kedua untuk meminda AANZFTA dan kerjasama di bawah program sokongan pelaksanaan.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan hasil daripada Forum Perkongsian Integrasi ASEAN-CER mengenai integrasi ekonomi digital, dengan perbincangan yang  progresif mengenai reformasi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan perkembangan ekonomi serantau.

Perundingan ke-30 AEM-CER diadakan bersempena dengan mesyuarat AEM ke-57 yang bermula Isnin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan