AM

Pakar AI, Semikonduktor Dunia Berhimpun Di SDEC 2025 Bulan Depan

25/09/2025 10:43 AM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pakar terkemuka dunia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor akan berhimpun bersempena dengan Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2025 dari 8 hingga 11 Okt ini.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) memaklumkan konvensyen bertemakan AI x Semiconductor: Blitzscaling Malaysia’s Deep Tech itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Hotel Grand Hyatt di sini.

Menurut kenyataan Sidec hari ini, konvensyen itu mencerminkan aspirasi berani Selangor untuk mempercepat ekonomi digital Malaysia dan meletakkan kedudukan sebagai hab serantau bagi inovasi teknologi mendalam (deep tech).

"Sebagai satu daripada acara utama di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025, SDEC mengangkat kedudukan global negeri ini dengan menghimpunkan teknologi, inovasi dan pelaburan di bawah satu platform," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Sidec Yong Kai Ping berkata konvensyen berkenaan menjadi medan pertemuan Malaysia dengan dunia, dan Selangor berbangga memacu perjalanan teknologi mendalam negara dengan menghimpunkan pakar global, pelabur dan inovator.

"Konvensyen ini bukan sekadar pameran idea, tetapi juga platform untuk mewujudkan peluang sebenar kepada bakat dan syarikat pemula," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Sidec, hari pembukaan pada 8 Okt akan memberikan tumpuan kepada inovator generasi baharu negara, dengan penonton akan menyaksikan Hari Demo Akhir bagi peserta Retail-X dan Deep-X, Program Twin Accelerator utama anjuran perbadanan itu.

"Syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbaik ini akan membentangkan penyelesaian mereka kepada pelabur, rakan korporat dan peneraju ekosistem sekali gus memperlihatkan komitmen Selangor dalam melahirkan perusahaan berpotensi tinggi," menurut kenyataan itu.

Pada 9 Okt, Sidang Kemuncak Semikonduktor akan menampilkan pemimpin bertaraf dunia termasuk bekas Ketua Pegawai Teknologi Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan Naib Presiden Kanan National Yang Ming Chiao Tung University (NYCU) Prof Jack Sun, serta Naib Presiden Jualan Synopsys Robert Li. 

Ucaptama akan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tenstorrent Jim Keller, manakala ucapan khas oleh Presiden Arm Asean yang juga Naib Presiden Jualan Amerika Utara CK Tseng.

Mereka akan disertai wakil kanan daripada Intel Foundry, Advanced Micro Devices (AMD), X-Fab Sarawak, SilTerra Malaysia, Infinecs System, Oppstar, SkyeChip Malaysia, dan Tenasic Malaysia, bersama-sama pakar serta persatuan industri yang memacu ekosistem semikonduktor di Asia Tenggara.

Sidec memaklumkan Sidang Kemuncak Inovasi AI akan diadakan pada hari ketiga, yang menampilkan inovator terkemuka termasuk KPE Cortical Labs Dr Hon Weng Chong dan KPE serta pengasas FuriosaAI June Paik.

Mereka akan disertai pelabur global seperti 500 Global dan Plug and Play APAC, serta perintis daripada YTL AI Labs, DF Automation & Robotics, HelloWorld Robotics, Shieldbase AI, Lekir Tech, dan Agmo Group, bersama dengan pelabur modal teroka dan pengasas syarikat pemula yang membentuk revolusi global AI.

 

Sidec memaklumkan Malaysia Semiconductor Recruitment Day (MSRD), karnival kerjaya terbesar di negara ini khusus untuk bakat kejuruteraan dalam sektor semikonduktor, akan berlangsung sepanjang empat hari konvensyen berkenaan.

MSRD akan mengetengahkan syarikat gergasi global seperti AMD, Infineon Technologies, STMicroelectronics, Texas Instruments Malaysia, dan NSW Inc. yang berganding dengan syarikat tempatan termasuk Maistorage Technology, Cortical Labs, SMD Semiconductor, HexoSys, SkyeChip Technology, Weeroc Space, Melexis Malaysia, Adoresys, Sophic Automation, Tenasic Technology, dan Oppstar Technology.

Tempat duduk adalah terhad untuk acara ini dan pendaftaran boleh dibuat melalui bit.ly/sidec2025.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan