PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- OPPO Malaysia hari ini melancarkan telefon pintar OPPO A6 Pro 5G, dengan disokong perlindungan IP69 kalis air dan debu, serta ketahanan gegaran yang memenuhi tahap ketenteraan.
Pengurus Pemasaran OPPO Malaysia Jonathan Lim berkata peranti A6 Pro 5G itu hadir dengan peningkatan ketara termasuk bateri bersaiz 6,500mAh, yang mampu menyokong penggunaan permainan video selama lapan hingga sembilan jam tanpa henti.
Digabungkan dengan teknologi 80W SuperVOOC Flash Charge, ia boleh dicaj penuh 100 peratus dalam hanya masa 50 minit sahaja.
“OPPO A6 Pro 5G amat sesuai untuk mereka yang aktif, berada dalam persekitaran lasak atau memerlukan peranti yang mampu menampung keperluan harian dengan pelbagai ciri terkini.
"Peranti ini mempunyai paparan skrin ultra cerah AMOLED dengan resolusi sehingga 120Hz. Meskipun di bawah cahaya matahari, skrin tetap jelas kelihatan. Reka bentuknya juga mengalami transformasi besar, lebih nipis, anggun dan bergaya,” katanya kepada media semasa majlis pelancaran peranti itu, di sini hari ini.
Beliau berkata OPPO A6 Pro 5G dengan 16GB (8+8) RAM + 256GB ROM itu kini tersedia dalam warna merah jambu coral dan biru stellar pada harga runcit RM1,199.
Ia akan mula berada di semua stor OPPO dan platform e-dagang rasmi mulai 27 September.
Pelanggan yang membuat pra-tempahan sekarang akan menerima peranti mereka selewat-lewatnya 27 Oktober bersama kotak hadiah eksklusif OPPO A6 Pro bernilai RM169, katanya.
Selain itu, Lim berkata OPPO turut mengadakan pameran jualan awal eksklusif selama lima hari di IOI City Mall Putrajaya bermula hari ini.
Para pelanggan berpeluang mendapatkan peranti secara terus dan menyertai Pertandingan OPPO Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang turut menawarkan barangan eksklusif bertemakan MLBB.
Seiring dengan pelancaran tersebut, OPPO Malaysia juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MediaTek, JP Niners Empire, dan GamesMY Kelantan.
Pengarah Pemasaran OPPO Malaysia Monica Chin menandatangani MOU itu bagi pihak syarikat, manakala MediaTek diwakili Pengarah Pemasaran Teknikal, Armstrong Chen.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JP Niners, Muhammad Faries Faizal Shamsul dan CEO GamesMY Kelantan, Luqman Hakim Mat Hassan turut memeterai MOU itu bagi syarikat masing-masing.
MOU itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam inovasi permainan mudah alih, mengoptimumkan prestasi cipset untuk permainan kompetitif, serta memperkukuh integrasi teknologi mesra-pemain dalam produk OPPO akan datang.
“Kerjasama kami dengan MediaTek dan pasukan eSports mencerminkan komitmen OPPO untuk mentakrifkan semula permainan mudah alih melalui prestasi dan sambungan bertaraf industri,” kata Chin.
Sementara itu, Chen berkata OPPO A6 Pro 5G dikuasakan cipset MediaTek Dimensity 8450, yang menawarkan peningkatan 41 peratus dari segi prestasi pemprosesan pusat (CPU) dan 54 peratus dalam prestasi kecerdasan buatan (AI).
“Cip Dimensity 8450 MediaTek memberikan pengalaman permainan yang lebih pantas dan lancar, serta hadir dengan sistem dwi-enjin yang memastikan peranti kekal sejuk sepanjang sesi permainan yang panjang, tanpa isu kelengahan atau kepanasan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Faries Faizal berkata sepanjang menggunakan OPPO A6 Pro, beliau mendapati prestasi telefon pintar itu sangat bagus untuk eSports.
"Apabila bercakap mengenai telefon pintar, kita sedia maklum bahawa banyak jenama yang berada di pasaran, bagaimanapun, kami memilih OPPO kerana ia dilihat 'padu' untuk aktiviti 'gaming'. Prestasinya lancar, tidak lengah, dan sistem penyejukan yang bagus, meskipun bermain dalam waktu yang lama, telefon masih stabil.
"Untuk permainan macam MLBB, prestasi sebegini sangat penting kerana setiap saat memang kritikal. Dengan OPPO, pasukan kami boleh bermain dengan lebih yakin dan memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap kejohanan untuk mencapai kemenangan," katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya akan bekerjasama dengan OPPO Malaysia untuk menyediakan kepakaran dan teknologi OPPO di Community Fire Learning Centre (CFLC) dan balai bomba.
“Kami juga telah bersetuju bahawa apabila orang ramai memasuki balai tersebut dan CFLC, mereka akan dapat melihat kehadiran jenama serta teknologi OPPO. Perincian mengenai kerjasama itu sedang diperhalusi, tetapi persetujuan telah pun dimeterai bersama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial