KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Desakan Kementerian Luar Israel baru-baru ini agar kapal flotila "berlabuh dan memindahkan" bantuan kemanusiaan melalui Pelabuhan Ashkelon di Israel tidak boleh dianggap sebagai permintaan logistik yang bersifat neutral.
Menurut Global Sumud Flotilla (GSF) dalam kenyataan, langkah itu adalah sebahagian daripada strategi (yang dilaksanakan sekian lama) oleh Israel untuk sengaja menghalang bantuan kepada Gaza dan percubaannya untuk melucutkan status sah pihak yang mencabar pengepungan haram Israel.
"Sejak Mei 2025, selepas menarik balik 'pengepungan keseluruhannya,' Israel hanya membenarkan purata 70 trak sehari memasuki Gaza. Agensi PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menganggarkan antara 500 dan 600 trak diperlukan setiap hari untuk memenuhi keperluan asas (di Gaza)," menurut kenyataan itu.
Menurut GSF, perbuatan Israel memintas kapal, menghalang konvoi dan menyekat laluan sebelum ini menunjukkan bahawa niatnya bukan untuk memudahkan bantuan tetapi untuk mengawal, menangguhkan dan menolak bantuan tersebut.
Amnesty International dan Human Rights Watch menurut GSF telah mengutuk perbuatan itu yang disifatkan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan halangan berbahaya terhadap bantuan kemanusiaan yang tidak berat sebelah.
"Retorik Israel terhadap Global Sumud Flotilla hanyalah permulaan. Menampilkan misi kemanusiaan aman sebagai 'pelanggaran undang-undang' adalah alasan untuk melakukan keganasan terhadap orang awam yang bertindak secara sah bagi menyampaikan bantuan.
“Amnesty (International) telah memberi amaran bahawa ugutan sebegitu menyalahi undang-undang antarabangsa dan merisikokan nyawa," menurut kenyataan itu.
GSF turut menekankan bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh menganggap ugutan sebegitu sebagai arahan operasi yang tidak berbahaya malah GSF menyifatkannya sebagai kesinambungan sekatan yang digelar penyiasat bebas PBB sebagai satu bentuk hukuman kolektif dan sebahagian daripada genosid berterusan di Gaza.
Sehubungan itu, GSF menyeru kerajaan, agensi PBB dan organisasi kemanusiaan agar memastikan laluan yang selamat dan perlindungan terhadap petugas bantuan, kemudahan perubatan dan orang awam; menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan menolak pengepungan haram Israel dan menyokong usaha menyampaikan bantuan secara langsung kepada penduduk Gaza; serta bertindak tegas untuk menamatkan genosid yang berterusan.
"Apa-apa sahaja (langkah) yang kurang (daripada resolusi tersebut) berisiko mewujudkan sistem kebuluran paksa, perampasan dan hukuman kolektif yang mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Palestin,” tambahnya.
Perjalanan GSF merentasi Laut Mediterranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan, dijadualkan tiba di perairan Gaza menjelang akhir bulan ini. Flotila itu menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Perjalanan itu diharap dapat menarik perhatian kerajaan di seluruh dunia untuk menekan Israel supaya menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial