JENAYAH & MAHKAMAH

Perhalusi Cadangan Tindakan Kedua-dua Pihak Kes Rogol 'Suka Sama Suka' - Mufti Kelantan

23/09/2025 08:20 PM

KOTA BHARU, 23 Sept (Bernama) -- Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed menyifatkan cadangan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat agar tindakan undang-undang dikenakan terhadap kedua-dua pihak dalam kes rogol melibatkan hubungan sukarela atau ‘suka sama suka’ wajar diperhalusi.

Mohamad Shukri berkata meskipun ia hanya pandangan peribadi, cadangan itu menyentuh aspek keadilan dan pelaksanaan undang-undang sivil serta syariah yang sedang berkuat kuasa.

“Secara peribadi, saya berpandangan undang-undang sedia ada perlu dinilai semula supaya setiap pihak yang terbabit diberi perhatian adil.

“Malah, dalam apa-apa tindakan, ibu bapa juga wajar dilibatkan terutama apabila kes melibatkan remaja bawah umur dan bukan sekadar diselesaikan begitu sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata setiap masalah sosial harus ditangani daripada peringkat akar umbi dan bukan hanya selepas kes berlaku.

“Seperti masalah dadah, kerajaan berbelanja besar untuk menanganinya tetapi pembentukan hati dan iman sepatutnya ditekankan sejak di bangku sekolah lagi,” ujarnya.

Mohamad Shukri berkata penyelesaian yang lebih terbuka perlu dirangka bagi mengelakkan ketidakadilan dalam isu berkaitan kesalahan moral dan jenayah syariah di negara ini.

Baru-baru ini, Mohd Yusoff mencadangkan agar hukuman ke atas pesalah kes rogol ‘suka sama suka’ turut dikenakan terhadap kedua-dua pasangan yang terlibat supaya keadilan dapat dicapai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini dilaporkan berkata kenyataan Mohd Yusoff itu adalah pandangan peribadi yang lahir daripada kebimbangan terhadap angka dan statistik kes seksual di Kelantan.

– BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan