KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway dinobatkan sebagai hospital terbaik di Malaysia dan buat julung kali tersenarai antara 350 Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek, sekali gus pertama di negara ini dalam senarai berprestij itu.
Dalam kenyataan hari ini, SMC memaklumkan menduduki tangga ke 313 daripada 350 hospital terbaik dunia, bersama hospital terkemuka lain dari 30 negara termasuk Hospital Johns Hopkins, Mayo Clinic, Hospital Besar Singapura dan Hospital University of Tokyo.
Penarafan terbaharu itu berasaskan tinjauan dalam talian yang menyeluruh bersama Statista Smart Hospitals Maturity Survey, dan akreditasi hospital oleh Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI).
Presiden Sunway Healthcare Group Datuk Lau Beng Long berkata dengan penerapan teknologi digital dan automasi termasuk sistem yang dipacu kecerdasan buatan (AI), kumpulan perubatan itu terus komited terhadap keselamatan pesakit, privasi data dan piawaian etika yang tinggi.
“Ini adalah cara kami memacu pertumbuhan dan inovasi selain terus berpegang kepada misi kami membina Sunway yang bersedia untuk masa hadapan,” katanya dalam kenyataan sama.
Menurut SMC, pusat perubatan itu akan terus menerajui teknologi melalui pelaburan dalam robotik, perubatan khusus dan automasi, selain mempercepat transformasi digital dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan pendigitalan serta mengintergrasi sistem AI bagi meningkatkan kecekapan klinikal dan operasi.
“Ini termasuk memperkasa sistem pemprosesan spesimen makmal automatik pertama di Malaysia iaitu Walk Away Sample Processor (WASP), integrasi Annalise iaitu teknologi Enterprise X-ray dada (CXR) AI untuk pelaporan radiologi, serta pelaksanaan Sistem Pemantauan Katil Pintar Nemuri yang membolehkan pemantauan keadaan pesakit secara masa nyata,” menurut kenyataan itu.
SMC juga hospital pertama di Asia Tenggara yang menggunakan AiBLE Spine Surgical Suite secara komersial, selain hospital pertama di Malaysia yang mengendalikan dua sistem da Vinci Xi dan mempunyai platform robotik artroplasti paling komprehensif di Malaysia dengan sistem ortopedik robotik canggih seperti Mako SmartRobotics, ROSA Knee System, dan VELYS Robotic Assisted Solution.
Sejak 2017, hospital berkenaan telah melaksanakan 3,800 prosedur bantuan robotik merangkumi pelbagai bidang kepakaran termasuk ortopedik, urologi, obstetrik dan ginekologi, serta pembedahan am.
“Kejayaan terbaharu ini melengkapkan pencapaian SMC dalam penarafan Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh Newsweek, sekali gus tersenarai sebagai hospital terbaik Malaysia dan dalam kalangan 250 hospital terbaik dunia bagi dua tahun berturut-turut,” menurut kenyataan itu.
Sebagai hospital utama Sunway Healthcare Group, SMC mempunyai lebih 300 perunding perubatan tetap, 80 kepakaran perubatan, dan 28 pusat kecemerlangan, dan dijangka akan berkembang kepada lebih 1,100 katil selepas siap blok keenamnya, Menara F (Pavilion Kanak-Kanak).
“SMC juga berbangga menjadi hospital pertama di Malaysia mencapai tiga akreditasi utama hospital iaitu The Gold Seal of Approval, Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH),” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial