PUTRAJAYA, 22 Sept (Bernama) -- Insiden kebocoran paip gas butana di Kerteh, Terengganu pada Sabtu lepas perlu dijadikan peringatan serius mengenai kepentingan latihan dan pencegahan kemalangan secara menyeluruh di tempat kerja, kata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) hari ini.
Pengerusi NIOSH Chong Chieng Jen berkata majikan dalam sektor berisiko tinggi seperti petroleum dan gas perlu memastikan pegawai serta kakitangan diberikan latihan mencukupi bagi melaksanakan penilaian risiko secara sistematik, selain mengambil langkah tepat untuk menangani sebarang insiden berbahaya.
Beliau berkata majikan dan pekerja termasuk vendor serta subkontraktor perlu melaksanakan pendekatan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) secara konsisten agar situasi bahaya seperti kebocoran gas dapat dikenal pasti lebih awal.
“Melalui pendekatan HIRARC, punca dan risiko kemalangan dapat dinilai dengan tepat, sekali gus membolehkan langkah kawalan dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi kejuruteraan terkini yang melibatkan peralatan dan sensor dikuasakan kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Chong berkata majikan dan pekerja perlu mengetahui serta sedar mengenai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti termaktub di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.
Beliau berkata Seksyen 17 hingga Seksyen 21 Akta itu menyentuh kewajipan majikan, penghuni tempat kerja, prinsipal, kontraktor serta pengilang dan pembekal bahan untuk memastikan keselamatan serta kesihatan pekerja dan orang awam sentiasa terjamin.
“Pekerja yang terlatih akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) yang sesuai serta melaporkan segera sebarang risiko bagi mengelak kemalangan di tempat kerja,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kebocoran paip gas di tapak projek ECRL Seksyen 5, Kerteh disedari pekerja yang melihat asap putih kira-kira 9.49 pagi, sebelum Petronas Gas Bhd (PGB) membunyikan siren kecemasan, mengarahkan semua pekerja mengosongkan kawasan serta menutup dua injap utama untuk mengawal kebocoran.
Chong berkata tindakan segera PGB membuktikan latihan kecemasan yang sistematik mampu menyelamatkan nyawa, selaras dengan program kesedaran dan latihan yang dijalankan NIOSH di seluruh negara.
Beliau berkata sebagai pusat kecemerlangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara, NIOSH mempunyai kepakaran, modul latihan khusus, fasiliti simulasi kecemasan serta 13 makmal bertaraf antarabangsa yang boleh membantu industri meningkatkan tahap keselamatan pekerja dan infrastruktur berisiko tinggi.
“NIOSH bukan sahaja berperanan melatih tenaga kerja dan membangunkan penyelidikan teknikal, malah kami juga bersedia membantu agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan siasatan dan merangka strategi kawalan lebih berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial