AM

UDA Lancar Kempen Hartanah Tawar Hadiah Bernilai Rm250,000

22/09/2025 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- UDA Holdings Bhd (UDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melancarkan kempen terbaharunya, “UDA Signature Dreams”, yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM250,000 bagi membantu golongan yang bercita-cita memiliki rumah merealisasikan impian memiliki hartanah di Lembah Klang.

Kempen ini menampilkan empat projek di lokasi strategik yang dibangunkan oleh UDA Land Sdn Bhd, iaitu Dedaun Residensi di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras; Residensi 38 Bangsar; Legasi Kampung Baru; dan Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Johari Shukri Jamil, berkata lebih 800 unit hartanah, daripada pangsapuri mampu milik hingga kondominium premium, kini boleh dimiliki dengan tawaran dan insentif istimewa.

“Kempen ini bertujuan menyediakan lebih banyak peluang kepada pembeli, terutamanya bumiputera, untuk memiliki hartanah dengan insentif khas.

“Itulah sebabnya kempen ini istimewa bagi kami kerana ia menjadikan impian memiliki rumah lebih mudah dicapai, terutama untuk keluarga muda dan golongan profesional di bandar,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran besar-besaran kempen UDA Signature Dreams di Residensi 38 Bangsar, di sini, hari ini.

Johari berkata kempen yang berlangsung mulai hari ini sehingga 31 Dis itu menawarkan pelbagai insentif, termasuk yuran tempahan rendah, pengecualian yuran Perjanjian Jual Beli (SPA) dan duti setem, subsidi memorandum pemindahan, serta pakej perabot rumah.

Beliau berkata setiap pembelian hartanah semasa kempen akan membolehkan pembeli menyertai cabutan bertuah ‘UDA Signature Dreams’, dengan hadiah termasuk tiket ke Piala Dunia FIFA 2026 bernilai sehingga RM150,000, serta perabot dan perkakas rumah bernilai RM100,000.

Majlis itu juga menyaksikan penandatanganan kerjasama strategik antara UDA dan firma reka bentuk dalaman Nai BNB, yang bertanggungjawab untuk reka bentuk dan penyediaan galeri rasmi di Residensi 38 Bangsar selama dua tahun.

Selain itu, majlis turut menampilkan penyerahan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah UDA Property Campaign 2024/2025, termasuk Proton S70 1.5T Executive dan motosikal Modenas Elegan.

Johari berkata falsafah UDA berasaskan LIFE – Legacy, Integrated, Finesse, Enriched – yang mencerminkan komitmen syarikat bukan sahaja dalam membina hartanah, tetapi juga dalam memperkukuh komuniti, menyokong aspirasi, dan mencipta ruang yang memperkayakan kehidupan.

Bagi maklumat lanjut, lawati laman media sosial rasmi UDA Property di Instagram @udapropertymalaysia dan Facebook (UDA Property Malaysia) untuk kemas kini terkini siri jelajah dan mendapatkan tawaran istimewa sepanjang tempoh kempen.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan