AM

Malaysia Perlu Konsisten Zahirkan Sokongan Terhadap Palestin - Farah Lee

22/09/2025 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu tegas dan konsisten dalam menzahirkan sokongan terhadap Palestin dengan menyalurkan pendirian itu melalui usaha diplomasi dan solidariti rakyat bersama-sama kepimpinan negara.

 Pempengaruh Farah Lee berkata langkah itu sejajar dengan kesinambungan komitmen kerajaan Malaysia yang sejak dari dahulu lagi teguh membela Palestin untuk mempunyai hak wujud sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. 

Farah, yang turut menyertai misi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF), berkata Palestin bukan sahaja memerlukan bantuan fizikal tetapi juga doa dan perhatian masyarakat dunia agar mereka tidak berasa keseorangan dalam perjuangan itu. 

“Saya menyeru rakan-rakan selebriti, pempengaruh dan tokoh masyarakat di Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam arus solidariti global ini... suara anda sangat berharga... setiap perkongsian, setiap kata dan setiap tanda sokongan adalah cahaya yang mampu menguatkan semangat Palestin untuk terus bertahan. 

“Palestin tidak hanya perlukan tangan yang menghulur tetapi hati yang tidak pernah berhenti peduli… setiap kali nama Palestin disebut, setiap kali doa dititipkan, mereka tahu dunia masih bersama mereka,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata gelombang solidariti terhadap Palestin semakin meluas apabila lebih 2,000 artis di United Kingdom (UK) menandatangani seruan gencatan senjata dan menamatkan sekatan di Gaza melalui inisiatif Artists for Palestine UK manakala pelakon tersohor Sepanyol Javier Bardem turut menggunakan pentas global bagi mengecam kekejaman terhadap rakyat Palestin.

“Solidariti ini membuktikan bahawa suara seni dan budaya mampu menjadi senjata ampuh untuk membuka mata dunia dan mengetuk hati nurani manusia sejagat,” katanya. 

Dalam aspek diplomasi, Farah berkata perkembangan bersejarah turut menyaksikan UK, Kanada dan Australia mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin diikuti Portugal manakala Perancis dijangka menyatakan pendirian pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan ini.

Beliau berkata langkah negara-negara berpengaruh itu adalah isyarat jelas bahawa perjuangan Palestin bukan lagi suara pinggiran sebaliknya semakin diiktiraf sebagai perjuangan sah untuk kemerdekaan dan keadilan.

“Sebagai delegasi Malaysia dalam GSF, saya merasai sendiri bagaimana sokongan dunia ini diterjemahkan bukan sekadar melalui kenyataan politik tetapi melalui tindakan nyata… kapal-kapal kemanusiaan yang berlayar ke Gaza adalah simbol keberanian dan keteguhan hati.

“Di tengah badai dan ombak, kami membawa suara rakyat dunia yang enggan membiarkan Palestin sunyi tanpa pembelaan.

“Sumud bermaksud ketabahan dan keteguhan, dan inilah semangat yang perlu dizahirkan oleh kita semua… meskipun berdepan cabaran, kita tidak pernah berganjak daripada prinsip kemanusiaan,” katanya.

Farah juga menegaskan bahawa masyarakat dunia perlu berdiri bersama-sama atas nama keadilan, menolak penindasan dan mengiktiraf hak Palestin untuk merdeka.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan