KUALA PILAH, 21 Sept (Bernama) -- Keunikan Adat Perpatih disemarakkan melalui Program Adat dan Tradisi Kampung Angkat MADANI anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2025 berlangsung meriah di Kampung Sungai Layang, Seri Menanti di sini, hari ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata program tersebut penting dalam memelihara warisan di samping memupuk semangat muafakat, kepatuhan serta penghormatan terhadap kepimpinan merupakan asas kestabilan masyarakat sejak turun-temurun.
Beliau berkata nilai-nilai Adat Perpatih seperti muafakat, tolong-menolong, menjaga maruah serta hormat-menghormati diyakini selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan pembinaan masyarakat inklusif, berperikemanusiaan dan saling melengkapi.
"Majlis seperti ini bukan sahaja memperingati warisan, tetapi juga mengingatkan kita bahawa nilai-nilai lama yang baik boleh terus hidup subur bersama nilai-nilai aspirasi baharu.
“Saya berharap generasi muda hari ini tidak melihat adat hanya sebagai ritual, sebaliknya menjadikannya panduan hidup yang membentuk disiplin, perpaduan dan rasa cinta kepada tanah air,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Wan Ahmad berkata selain menjadi wadah penghayatan budaya, program itu juga berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan, membolehkan generasi muda dan pelancong merasai pengalaman unik Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Menurutnya, usaha ini selari dengan komitmen JPA untuk memperkukuhkan nilai Malaysia MADANI secara inklusif bukan sahaja melalui dasar pentadbiran, tetapi juga menerusi warisan budaya yang menyatukan rakyat.
“Kekuatan negara lahir daripada kepelbagaian budaya yang dipupuk dengan muafakat, seterusnya dilentur ke arah pencapaian kesejahteraan bersama,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif Kampung Angkat MADANI bukan sahaja membawa pembangunan fizikal kepada kampung, malah menyumbang kepada pendekatan holistik yang menghubungkan perkhidmatan awam dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Penglibatan pegawai awam dalam program itu juga, katanya, menjadikan inisiatif MADANI berfungsi sebagai jambatan antara masyarakat dan pembuat dasar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial