Oleh Vijian Paramasivam
BANTEAY MEANCHEY, 21 Sept (Bernama) -- Ketika rakyat Kemboja bersiap sedia menyambut upacara keagamaan bermula Ahad, sebuah perkampungan terpencil Prey Chan di wilayah ini masih dibayangi ketakutan dan suasana suram.
Kehidupan kira-kira 700 penduduk di sepanjang sempadan bergolak Kemboja-Thailand berubah sama sekali sejak pertempuran tentera tercetus antara kedua-dua negara pada 24 Julai lalu.
Kawasan kejiranan yang dahulunya aman dan makmur seperti perkampungan Prey Chan dan Chok Chey kini bertukar menjadi penempatan miskin.
Di seluruh Kemboja, sambutan Phchum Ben iaitu upacara keagamaan selama dua minggu untuk memberi penghormatan kepada leluhur, memuncak dengan perayaan tiga hari yang bermula hari ini.
“Saya hidup dalam ketakutan, terpaksa tinggalkan rumah sendiri, dan tidak boleh kembali kerana ada pagar kawat berduri.
“Terlalu banyak tekanan hidup di kem pelarian ini. Saya mahu berdoa agar keamanan kembali sempena Phchum Ben supaya saya boleh pulang,” kata Mul Malis, 52, seorang penjual makanan kepada Bernama semasa lawatan media anjuran Kementerian Penerangan Kemboja minggu ini.
Latar langit indah Banteay Meanchey dengan ladang tebu dan pohon kayu putih diliputi realiti getir konflik sempadan dengan negara jirannya sejak pertempuran lima hari itu.
Golongan tua dan muda berulang-alik ke biara berdekatan untuk memohon keberkatan sempena musim perayaan Phchum Ben.
Sejak konflik itu, semua pintu sempadan kekal ditutup, memberi kesan besar kepada perdagangan rentas sempadan dan pelancongan.
“Dulu kita ada banyak perdagangan sempadan, tetapi kini semuanya terhenti dan rakyat cuba berniaga di pasaran tempatan.
Di Pagoda Prey Chan, penduduk berkumpul pada pagi Jumaat untuk memberi makanan kepada sami dan memohon keberkatan, tanpa menghiraukan konflik dengan jiran Thailand.
“Tahun ini ramai rakyat Kemboja dari wilayah lain turut datang ke pagoda untuk berdoa demi keamanan dan menyokong penduduk tempatan.
"Ramai berdoa agar keadaan kembali normal, rakyat Kemboja tidak mahu perang,” kata ketua sami Ngel Dy, yang pernah cedera terkena peluru getah di perutnya semasa konfrontasi terbaru, kepada Bernama.
Dengan sokongan China dan Amerika Syarikat, Malaysia selaku pengerusi ASEAN berjaya meredakan keadaan tegang itu.
Kerajaan Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 28 Julai, manakala rundingan di peringkat tentera masih dijalankan bagi mengelak sebarang peningkatan konflik.
Kawasan sempadan yang tidak bertanda sejak puluhan tahun menjadi titik panas yang terus menjejaskan hubungan dua hala dan interaksi rakyat kedua-dua negara.
Musim tengkujuh dari Mei hingga Oktober membawa hujan lebat yang menyukarkan kehidupan penduduk namun, ia tidak mematahkan semangat mereka.
Di kampung terpencil yang terletak kira-kira 300 kilometer dari ibu kota Phnom Penh, sambutan keagamaan Phchum Ben tetap diteruskan walaupun dalam suasana tegang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial