AM

Dua Projek Agropelancongan Dibangunkan Semula Tarik Pengunjung Ke Luar Bandar

21/09/2025 03:49 PM

JASIN, 21 Sept (Bernama) -- Kerajaan Melaka membangunkan semula dua projek agropelancongan, iaitu Melaka Fruit Farm di Sungai Udang dan ladang ternakan rusa di Sungai Rambai, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke kawasan luar bandar di negeri itu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata Melaka Fruit Farm akan dijadikan sebagai taman karavan yang menampilkan konsep agropelancongan berasaskan aktiviti ladang dan ternakan.

"Antaranya ialah tanaman nanas, rock melon dan ternakan ikan sangkar yang bukan sahaja membolehkan pelancong menikmati suasana desa, malah turut berpeluang merasai pengalaman menangkap ikan dan melihat sendiri aktiviti pertanian yang dijalankan.

"Ladang ternakan rusa di Sungai Rambai juga kini sedang giat dibangunkan semula dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada Februari tahun depan," katanya kepada pemberita di Merlimau Pantai, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Program Santuni MADANI (Program Satu Pemimpin Satu Kampung) yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata ladang berkenaan juga akan dijadikan "Base Rusa", iaitu pusat tarikan yang membolehkan pengunjung memberikan makanan kepada rusa, melihat proses pembiakan haiwan itu serta menikmati hidangan berasaskan daging rusa yang disediakan di situ.

Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri di bawah portfolionya untuk mengembangkan sektor pelancongan ke kawasan desa, selepas Melaka merekodkan hampir 15 juta kedatangan pelancong tahun lepas yang sebahagian besarnya tertumpu di kawasan bandar.

“Apabila pelancongan berkembang di kampung, ia akan menjadi industri hiliran yang mampu membangunkan ekonomi setempat dan memberikan manfaat terus kepada penduduk.

“Insya-Allah, inilah hala tuju baharu agropelancongan yang sedang dirangka untuk Melaka,” katanya.

Muhamad Akmal berkata projek-projek berkenaan telah melalui proses tender dan dalam peringkat pembangunan serta dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan