KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Malaysia secara rasmi menyerahkan tugas Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) kepada Filipina pada Perhimpunan Agung AIPA ke-46 yang berlangsung di sini hari ini.
Simbolik penyerahan tugas itu dilakukan dengan menandatangani dokumen serta penyerahan tukul dan bendera AIPA oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kepada Ketua Delegasi Filipina Raymond Democrito C. Mendoza.
Penyerahan itu menandakan tamat tempoh setahun Malaysia sebagai Presiden AIPA, dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung ke-46 bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam ucapannya, Johari berkata Malaysia amat berbesar hati telah mempengerusikan dan menjadi tuan rumah perhimpunan itu, serta menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Malaysia tumpuan bukan sahaja terhadap resolusi tetapi juga pengukuhan penjenamaan, komunikasi dan jangkauan AIPA agar peranannya terus ketara dan relevan kepada rakyat ASEAN.
Beliau turut menggariskan beberapa pencapaian penting sepanjang tempoh kepresidenan Malaysia, termasuk resolusi yang merangkumi keselamatan politik, integrasi ekonomi, keterangkuman sosial, tindakan iklim, pemerkasaan wanita dan belia, serta kerjasama antara Parlimen ASEAN dan Parlimen Pemerhati.
“Antara pencapaian lain ialah AIPA-ASEAN Hearing ke-4, yang terus memperkukuh dialog institusi antara Parlimen dan pemimpin ASEAN bagi memastikan suara legislatif dapat membentuk keutamaan ASEAN, serta Model AIPA ke-5 dianjurkan buat pertama kali di luar Jakarta iaitu di Kuala Lumpur, sekali gus memperluaskan pembabitan belia dan proses hal-ehwal Parlimen.
“Kita juga memperkenalkan persidangan dan pameran “Now & Future”, inisiatif baharu dan bersejarah bagi AIPA yang menghubungkan pembuat dasar, belia, komuniti perniagaan dan masyarakat awam, merapatkan diplomasi Parlimen menerusi kerjasama dengan dunia luar berasaskan inovasi, keterangkuman dan kelestarian,” katanya dalam ucapan penangguhan pada perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Beliau berkata Malaysia juga telah menerajui usaha memperbaharui identiti budaya dan komunikasi AIPA, termasuk pelancaran lagu tema “Together We Thrive”, yang melambangkan perpaduan dan meraikan ketabahan rakyat ASEAN.
Johari turut menyuarakan harapan agar semua Ahli Parlimen AIPA secara aktif menyebar, menerima pakai dan melaksanakan elemen substantif terhadap resolusi yang telah dipersetujui.
“Adalah sama penting untuk kita memperkukuh dan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme AIPA untuk mengawasi serta melaporkan kemajuan dicapai demi memastikan sumbangan kita kekal berwibawa, telus dan memberi impak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial