EKONOMI

Kunak Lipids Perkenal Tokotrienol Sabah Ke Pentas Dunia Di Acara Vitafoods Asia

20/09/2025 07:58 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 20 Sept (Bernama) -- Sebaik melangkah masuk ke Pusat Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit di Bangkok bagi acara tahunan dunia nutraseutikal Vitafoods Asia, satu reruai ternyata menarik perhatian dan rasa bangga dengan paparan nama Malaysia dan Sabah jelas di kain rentangnya.

Kunak Lipids Sdn Bhd, anak syarikat Sawit Kinabalu Sdn Bhd, melakukan penampilan sulung pada acara yang berlangsung pada 17-19 September lepas yang mempamerkan pelbagai inovasi berasaskan tokotrienol.

Selama bertahun-tahun, tokotrienol yang juga dalam kelompok vitamin E, lebih dibayangi oleh jenis lain yang lebih dikenali, tokoferol.

Justeru, Kunak Lipids berhasrat mengubah naratif itu dengan mentransformasi antioksidan kurang “dihargai” atau dikenali ini sebagai produk kesihatan arus perdana.

Usaha itu dilakukan menerusi penawaran produk seperti kapsul dan serbuk, bar atau biskut kepingan tenaga, biskut kepingan coklat dan juga jalur tipis larut oral (ODF) yang cair bila diletakkan di atas lidah.

Kehadiran kumpulan Sabah itu diterajui oleh Datin Stella Ambrose yang bersama kumpulan pemasaran, berinteraksi dengan pengunjung dan bakal rakan kerjasama yang berminat untuk menyelami pendekatan Malaysia dalam inovasi nutraseutikal.

“Kami tidak mahu sekadar mengetengahkan satu suplemen sahaja. Matlamat kami adalah untuk berkongsi bagaimana tokoferol dapat dijadikan sebahagian daripada kehidupan sehari-hari dalam bentuk snek bersama kopi kepada jalur tipis mudah sebelum bersenam,” katanya kepada Bernama.

Tidak setakat penerangan, Kunak Lipids turut menghidupkan konsep itu di reruainya iaitu suplemen dalam bentuk kapsul gel bagi pasaran nutraseutikal klasik manakala biskut dan kepingan bar tenaga bagi generasi muda yang lebih ketara sebagai pengguna peka kesihatan.

“Jalur ODF yang tipis, mudah larut dengan kandungan tokoferol, mungkin paling futuristik dan mewakili gabungan kejituan farmaseutikal dan kemudahan pengguna,” katanya.

Vitafoods Asia yang juga acara dagangan terkemuka bagi industri nutraseutikal, turut menyediakan platform untuk profesional dalam sektor kesihatan dan pemakanan bertemu, berinovasi dan disusuli dengan usaha perniagaan.

Apa yang lebih bermakna, sepanjang pameran itu, Ambrose berkata sebuah syarikat farmaseutikal berpangkalan di Singapura dengan kehadiran kukuh di pasaran nutraseutikal Asia telah menandatangani surat hasrat (LOI) untuk memulakan pembelian tokoferol semula jadi keluaran Kunak Lipids bermula Januari 2026.

“Pada masa sama, sebuah syarikat pengedar antarabangsa dikenali dengan usaha mempromosikan tokoferol lestari, pula bersedia membawa produk Kunak Lipids ke peringkat global dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus mengukuhkan kehadiran Sabah dalam industri kesihatan dan kesejahteraan.

“Bagi industri yang dibina atau berteraskan kredibiliti, bukti dan jaringan, kemampuan untuk menyerlah di ruang pameran sering menjadi langkah pertama ke arah peluang lebih besar. Kalangan pembeli, mereka yang terbabit dalam merumuskan produk serta pengedar, turut singgah bagi mengetahui aspek sains di sebalik tokoferol serta bagaimana ini dapat diintegrasikan ke dalam rangkaian produk baharu,” katanya.

Ambrose juga menekankan, apa yang lebih menonjol bagi Kunak Lipids adalah sisi akarnya yang bertapak di Sabah iaitu usaha transformasi produk sampingan pertanian kepada ramuan bernilai tinggi menjadi teras bagi usaha inovasi mampan.

Beliau berkata menerusi usaha memanfaatkan tokotrienol berasaskan sawit dan disuntik nilai atau kaitan global, syarikat itu juga meletakkan Malaysia di peta nutraseutikal antarabangsa.

Oleh itu bagi Kunak Lipids, Vitafoods Asia lebih daripada sekadar acara pameran sebaliknya perkongsian hasrat -- mengubah molekul yang tidak dikenali kepada format yang senada dengan pengguna moden serta menyerlahkan syarikat dari bumi Sabah seiring dengan pengeluar bahan terkemuka dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan