KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway (SMC) akan menganjurkan sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 pada 27 Sept ini, menghimpunkan profesional penjagaan kesihatan, pesakit dan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan kardiovaskular, pencegahan dan intervensi awal.
SMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu akan diadakan di Pusat Konvensyen SMC dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Orang ramai akan berpeluang bertemu Pakar Perunding Kardiologi Dr Richard Chan Tze Ming dan Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi Dr Gary Lee Chin Keong, yang akan mengetuai sesi kesedaran memfokuskan pada pencegahan, perubahan gaya hidup dan pemantauan penunjuk kesihatan vaskular utama seperti tekanan darah, kadar denyutan jantung dan paras oksigen.
"Penyakit kardiovaskular (CVD) kekal sebagai punca utama kematian di seluruh dunia. Keadaan seperti penyakit arteri koronari, hipertensi dan kegagalan jantung dan semua bahagian CVD biasanya tidak disedari sehingga ia mengancam nyawa.
“Selaras dengan pergerakan Hari Jantung Sedunia global, inisiatif SMC adalah untuk membuka pintunya kepada orang ramai dengan akses kepada pendidikan, pemeriksaan dan inspirasi daripada pengalaman pesakit,” menurut kenyataan itu.
Acara itu juga akan menampilkan testimoni pesakit daripada penerima manfaat program skim rawatan jantung Selangor, yang akan berkongsi perjalanan rawatan dan pemulihan mereka di SMC.
“Selain itu, akan ada bengkel mengenai penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED) dan respons kecemasan, yang mengetengahkan kemahiran penting untuk mengendalikan kecemasan berkaitan jantung.
“Acara itu juga akan menampilkan gerai kesihatan interaktif, pemeriksaan kesihatan serta demonstrasi oleh Samsung Malaysia mengenai peranan teknologi boleh pakai dalam pemantauan jantung sebagai pelengkap program,” menurut kenyataan itu.
Aktiviti-aktiviti berkenaan bertujuan memantapkan lagi acara bagi membolehkan pengunjung lebih memahami faktor risiko kardiovaskular dan meneroka peralatan praktikal bagi pemantauan kendiri harian.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 19.8 juta orang meninggal dunia akibat CVD pada 2022 iaitu 32 peratus daripada kematian global dan majoriti merupakan serangan jantung serta strok.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 66,779 kematian berkaitan CVD pada 2021, menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang faktor risiko, pencegahan dan pengesanan awal penyakit itu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat SMC, Tan Mei Shin dalam kenyataan sama berkata penyakit jantung bukan sekadar statistik tetapi realiti bagi banyak keluarga di Malaysia dan seluruh dunia.
“Dengan kesedaran dan tindakan pencegahan yang lebih kukuh, ramai jiwa boleh dilindungi. Hari Jantung Sedunia mengingatkan kita untuk memberi perhatian kepada jantung kita dan menjadikan kesihatan satu keutamaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial