Oleh Suraidah Roslan
SANDAKAN, 19 Sept (Bernama) -- Pengusaha inap desa berharap bekalan air di Sandakan akan stabil dan pulih sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga hari ini agar mereka tidak perlu membatalkan tempahan pelanggan.
Pengusaha inap desa di Taman Rimba, Andrianawati Mustapha, 42, berkata beliau menarik nafas lega apabila bekalan air mula pulih sejak pagi ini dan membolehkan pekerjanya mengisi semula tangki simpanan yang sebelum ini kering.
Sepanjang ketiadaan bekalan air sejak lima hari lepas, beliau terpaksa membatalkan dua tempahan pelanggan yang ingin mengadakan acara di inap desa mereka.
Beliau berkata inap desa itu sering menjadi pilihan pelanggan untuk menganjurkan majlis perkahwinan, hari keluarga mahupun acara yang melibatkan kehadiran ramai tetamu.
“Pada hari pertama gangguan bekalan air berlaku, pelanggan yang sedang menginap di sini mengadu kehabisan air, jadi terpaksalah kami membekalkan air mineral sebagai alternatif dan keadaan itu menyebabkan kos operasi kami bertambah.
“Kebetulan pelanggan berkenaan mengadakan majlis perkahwinan sebelum gangguan bekalan air berlaku, menyebabkan air dalam tangki simpanan habis digunakan meskipun kami mempunyai dua tangki,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud telah mula beroperasi dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 130 juta liter sehari sejak Rabu setelah kerja-kerja baik pulih talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud selesai.
Andrianawati juga berkata gangguan bekalan air bukan hanya menjejaskan pengusaha inap desa sepertinya malah turut menjejaskan pengusaha restoran, cuci kereta dan hotel.
Pengusaha inap desa The Agathis Residence iaitu Mardinah Jikur, 41, pula berkata meskipun premisnya dilengkapi tangki simpanan air, gangguan bekalan yang berterusan boleh menyebabkan paras simpanan berkurangan dan berisiko habis digunakan oleh pelanggan.
Beliau berkata sepanjang lima hari ketiadaan bekalan air sebelum ini, ada pelanggan yang hampir membatalkan tempahan kerana bimbang inap desa itu tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi.
“Kami rasa lega apabila bekalan mula pulih pada Rabu, jadi bolehlah kami mengisi semula tangki air yang kosong… nasib baiklah sudah ada bekalan air, kalau tidak terpaksalah kami batalkan tempahan pelanggan yang daftar masuk hari ini,” katanya.
Bagi Fatimah Kalbi yang bertugas sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel, pihak pengurusan terpaksa membeli air sebanyak dua kali sehari dengan kos RM300 bagi setiap penghantaran untuk mengisi tangki simpanan.
Meskipun JANS melakukan penghantaran bekalan setiap hari namun ia tidak cukup untuk menampung keperluan air di hotel berkenaan.
“Ini sudah masuk hari kelapan kawasan IJM tiada bekalan air dan sepanjang tempoh itulah kami terpaksa membeli air dari luar bagi meneruskan operasi hotel… malah ada beberapa hotel di sini terpaksa ditutup sementara kerana tidak mahu menambah kos operasi dengan membeli air melalui lori tangki.
“Kami juga meletakkan notis bagi memaklumkan pelanggan bahawa tekanan air di tandas agak rendah, jadi pelanggan yang tidak memahami tidak akan menginap di hotel ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial