JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Sebar Video Berunsur Fitnah Kes Zara Qairina

17/09/2025 07:04 PM

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang disyaki terlibat dalam penyebaran video berunsur fitnah di Facebook berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 13 Sept lepas mengenai penularan video tersebut.

“Video itu didakwa bukan sahaja mengandungi unsur fitnah malah turut mendedahkan identiti kanak-kanak serta menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

“Susulan laporan itu, polis menahan lelaki tersebut pada 5.40 petang 16 Sept lepas di sini bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata turut dirampas daripada suspek dua telefon bimbit.   

Jauteh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 203A dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.

"PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan kenyataan berunsur fitnah, mengaibkan atau provokatif," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan