Daripada Rohani Mohd Ibrahim
NANNING (China), 16 Sept (Bernama) -- Penyedia penyelesaian kecerdasan buatan (AI) utama China, Runjian Co Ltd, memuji sokongan kerajaan Malaysia terhadap inisiatif kecerdasan buatan (AI) dan pelaburannya dalam dua pusat data kendaliannya di negara itu.
Naib Presidennya Athena Zhao berkata Runjian terlibat dalam membangunkan dua pusat data di Johor Bahru dan di Cyberjaya.
"Kami menyediakan perkhidmatan pusat data bagi syarikat utama termasuk YTL Corporation," katanya kepada peserta China International Press Communication Centre (CIPCC) Asia Pasifik yang melawat ibu pejabat Runjian, di sini, pada Selasa.
Zhao berkata Runjian kini memberi tumpuan kepada ASEAN kerana rantau itu terletak berdekatan dengan China selain hubungan baik antara kedua-duanya.
“ASEAN sangat aktif, terutamanya Malaysia, yang telahpun menjadi tumpuan pelaburan asing. Berbanding dengan negara lain, persekitaran pelaburan Malaysia lebih mesra,” katanya.
Menurutnya, perniagaan luar negara Runjian semakin berkembang pesat dan syarikat itu telahpun menubuhkan anak syarikatnya di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Zhao berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada tenaga boleh baharu, pusat data dan aplikasi AI, menyediakan penyelesaian setempat untuk pelanggan ASEAN.
Semasa taklimat kepada peserta CIPCC, beliau berkata Runjian juga menjalin kerjasama dalam penyelidikan industri dengan dua universiti di Malaysia iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sementara itu, China-ASEAN Artificial Intelligence Collaborative Innovation Centre (CAAIC) berkata Malaysia meneraju negara-negara anggota ASEAN dalam pelan induk Pusat Inovasi Kolaboratif Kepintaran Buatan China-ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial