AM

Sambutan Hari Malaysia 2025 Buka Tirai, Pengunjung Mula Hadir Seawal 9 Pagi

16/09/2025 09:48 AM

BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia 2025 membuka tirai secara rasmi pagi ini menyaksikan rakyat berbilang kaum mula menghadiri Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth sekali gus menguatkan lagi ‘ikatan perpaduan’ rakyat di negara ini.

Seawal 9 pagi, semangat patriotik mewarnai pusat konvensyen itu dengan pengunjung mula mengunjungi ruang legar PICCA yang dipenuhi dengan reruai daripada agensi kerajaan dan swasta seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dan Astro Radio.

Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menarik perhatian dengan pameran foto khas yang memaparkan detik-detik penting sambutan Hari Malaysia.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan yang julung-julung kalinya diadakan di Pulau Mutiara itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertandingan mewarna keluarga dan kuiz interaktif Hari Malaysia.

Pada sebelah malam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dijadual menghadiri sambutan itu.

Ia juga bakal dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air pelbagai kaum termasuk Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran selain artis dari Sabah dan Sarawak, iaitu Dabra Sia serta Rezza Shah.

Edisi kali ini diadakan di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan