EKONOMI

Malaysia Akan Terus Teroka Pasaran Baharu Perdagangan, Pelaburan - PM Anwar

15/09/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept  (Bernama) -- Malaysia memperkukuh komitmen terhadap multilateralisme dengan membuka lebih banyak pasaran melalui kerjasama perdagangan dan pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam wawancara dengan saluran CGTN yang dikendalikan pengacara Zheng Junfeng baru-baru ini berkata langkah awal Malaysia terhadap Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) susulan jemputan Presiden China Xi Jinping telah membuahkan hasil positif dan menggalakkan kerjasama selanjutnya.

“Kami telah melihat keberkesanannya, dan kami berharap untuk terus bekerjasama dengan SCO.  Namun, anda lihat keseluruhan strategi pada masa ini termasuk dari Malaysia, dan saya menggalakkan rakan-rakan saya di ASEAN untuk membuka hubungan dalam perdagangan dan pelaburan serta memperluas asas pasaran.

"Kita mempunyai ASEAN, dan kita ada ASEAN+, iaitu China, Korea, Jepun dan semua negara lain. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah mempunyai mekanisme baharu, libat urus baharu seperti SCO, BRICS," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini, Anwar berkata sidang kemuncak berkenaan akan disertai oleh pemimpin Brazil, Afrika Selatan, Itali dan Kanada, yang disifatkan beliau sebagai langkah luar biasa bagi rantau ini.

Anwar turut mengulangi komitmen Malaysia untuk membincangkan kemungkinan melanjutkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 25 kilometer ke Thailand.

"Kami tidak akan berhenti setakat di utara, malah akan dilanjutkan ke sempadan Thailand. Diharapkan, dengan kerajaan Thailand yang baharu atau kerajaan sedia ada -- memandangkan mereka sedang melalui proses peralihan -- kami akan mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan untuk melanjutkan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima manfaat daripada kejayaan kenderaan elektrik (EV) di China melalui kerjasama jangka panjang Proton dengan Geely.

Beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Geely Li Shufu, dan kerjasama itu akan terus diperkukuh dengan sokongan kerajaan China dan Malaysia,

"Kami akan melancarkan pengembangan secara besar-besaran Geely di bandar automotif, dan Geely akan memulakan pengeluaran hibrid terlebih dahulu dan seterusnya EV," kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan