AM

Kerajaan Sabah Batalkan Sambutan Hari Malaysia Malam Esok, Tumpu Tangani Bencana

15/09/2025 02:13 PM

KOTA KINABALU, 15 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka di sini, malam esok berikutan bencana yang sedang melanda negeri ini. 

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata bencana yang berlaku akibat hujan berterusan telah menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.

Beliau berkata keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.

“Saya telah memaklumkan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman mengenai perkara itu.

“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Hajiji berkata beliau juga mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia untuk tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan terus berubah susulan cuaca buruk yang berpanjangan.

Beliau berkata JPBN Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong kini mengadakan mesyuarat untuk memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.

“Orang ramai dinasihat supaya terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan, serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha sedang dipertingkatkan di seluruh negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan