DUNIA

Malaysia Anjur Bazar Bertema ASEAN Tonjol Kepelbagaian Budaya

14/09/2025 06:57 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 14 Sept (Bernama) -- Bazar ASEAN 2025 anjuran Kedutaan Malaysia di Kemboja menunjukkan bagaimana kepelbagaian kulinari mampu menyatukan rantau yang berbilang budaya ini.

Acara pada Sabtu itu menjadi platform ideal bagi negara-negara Asia Tenggara memperkenalkan khazanah tradisi, makanan, kebudayaan dan busana masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Park Sokhonn, berkata Bazar ASEAN yang penuh warna-warni itu benar-benar mencerminkan suasana budaya rantau ini serta aspirasinya.

“Perayaan hari ini menggambarkan satu daripada keistimewaan ASEAN. 

"Kita datang daripada pelbagai sejarah dan bahasa, tetapi kita berhimpun sebagai sebuah keluarga dengan solidariti dan impian bersama untuk keamanan serta kemakmuran.

“Bazar ASEAN mengembalikan semangat itu; ia lebih daripada sekadar pameran budaya. 

"Ia adalah perayaan besar terhadap identiti bersama kita,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Negara anggota ASEAN mempersembahkan hidangan kulinari masing-masing di kawasan perkarangan kedutaan di Phnom Penh.

Tetamu berpeluang menikmati pelbagai sajian, daripada “monginga” Myanmar, “nasi lemak” Malaysia, snek tradisional Kemboja hinggalah “nasi padang” dari Indonesia.

Negara Timor-Leste turut mengambil bahagian dalam acara sehari itu.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Shaharuddin Onn berkata bazar ini melangkaui sekadar pertemuan sosial kerana ia menggambarkan ikatan ASEAN di Kemboja.

“Ia acara penting yang melambangkan kesatuan, solidariti dan kerjasama ASEAN. Bazar ASEAN bukan sekadar acara sosial, ia adalah usaha kolektif semua kedutaan ASEAN dan Timor-Leste di Phnom Penh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan