AM

Perarakan Bot Berhias Semarakkan Sambutan Hari Malaysia Di Bukit Gantang

14/09/2025 02:15 PM

BUKIT GANTANG, 14 Sept (Bernama) -- Lebih 135 bot nelayan pelbagai saiz menceriakan perairan Sungai Kerang hari ini menerusi Perarakan dan Pertandingan Bot Berhias 2025 Parlimen Bukit Gantang di Jeti Sungai Kerang bersempena sambutan Hari Malaysia.

Pelepasan bot nelayan itu disempurnakan Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal kira-kira 9 pagi tadi.

Acara tahunan kali keempat itu berlangsung di perairan Sungai Kerang, Kelubong dan Bagan Panchor dengan setiap bot dihias indah menggunakan Jalur Gemilang serta bendera Perak, sebelum berarak sejauh kira-kira 10 kilometer.

Para peserta turut dinilai dalam pertandingan bot berhias yang dibahagikan kepada kategori bot kecil dan besar, dengan aspek kreativiti, kekemasan serta tarikan hiasan menjadi kriteria utama penilaian.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata penganjuran program yang kini dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan daerah memperlihatkan komitmen komuniti nelayan terhadap semangat patriotisme serta perpaduan.

“Acara ini bukan sekadar perarakan, tetapi juga satu wadah untuk memperkukuh hubungan antara komuniti nelayan dan masyarakat setempat. Ia mampu menjadi tarikan pelancong, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan perairan ini.

“Setiap peserta diberikan RM300 untuk menghiaskan bot masing-masing, juara bakal membawa pulang RM10,000, kedua (RM7,000), ketiga (RM5,000), keempat (RM3,000) dan RM1,000 untuk tempat kelima,” katanya.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata sambutan Hari Malaysia yang diraikan secara inklusif bersama masyarakat nelayan menunjukkan simbolik semangat kebersamaan yang wajar terus dipupuk, sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI.

“Kami ambil inisiatif mengadakan pertandingan ini kerana tidak mahu nelayan berasa terpinggir daripada sebarang aktiviti nasional, ia menjadi bukti sambutan Hari Malaysia bukan sahaja boleh diadakan di daratan tetapi di lautan juga boleh adakan sambutan.

“Kami sentiasa menyokong penganjuran yang mengangkat identiti dan budaya nelayan kerana mereka bukan sahaja penyumbang utama dalam bekalan makanan negara, tetapi juga sebahagian daripada warisan maritim negara yang perlu dipelihara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk persatuan nelayan tempatan, agensi kerajaan dan komuniti setempat yang menjayakan program itu, sambil menyatakan keyakinan ia mampu dikembangkan sebagai acara pelancongan bertaraf negeri pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan